PENJAGA gol Barcelona Marc-Andre Ter Stegen cuba menyelamatkan percubaan penyerang Cadiz, Ruben Sobrino. -FOTO EPA
PENJAGA gol Barcelona Marc-Andre Ter Stegen cuba menyelamatkan percubaan penyerang Cadiz, Ruben Sobrino. -FOTO EPA
AFP

Barcelona: Kedudukan Barcelona untuk berada di kelompok empat teratas La Liga kini terancam selepas mereka mengalami kekalahan mengejut 0-1 di tempat sendiri kepada pasukan yang bergelut di zon penyingkiran Cadiz.

Jaringan Lucas Perez dari jarak dekat pada separuh masa kedua menambah derita Barca yang mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tersingkir daripada saingan Liga Europa apabila tewas di Eintracht Frankfurt.

Barcelona kini masih kekal di tempat kedua namun mempunyai mata yang sama dengan Sevilla dan Atletico Madrid masing-masing di tempat ketiga dan keempat dan Real Betis kelima kini hanya ketinggalan tiga mata.

Bagaimanapun skuad bimbingan Xavi Hernandez itu masih mempunyai baki satu perlawanan dalam tangan berbanding tiga pasukan di bawahnya.

Kekalahan itu menyaksikan Barca hanya meraih satu kemenangan dari empat perlawanan terakhir mereka yang mana kemenangan itu diraih ketika waktu kecederaan sewaktu menentang pasukan di tangga ke-19, Levante.

Harapan untuk memberi tekanan dengan mengejar pendahulu liga Real Madrid sudah tertutup dengan Madrid kini selesa dengan 15 mata di puncak liga biarpun sudah bermain lebih satu perlawanan.

"Kami perlu kritik diri sendiri. Kami perlu bercakap mengenai diri masing-masing. Ini adalah Barca dan kami perlu menjadi lebih baik.

"Di tempat sendiri kami perlu pamerkan aksi yang lebih baik, lebih banyak percubaan dan karektor. Ia adalah perlawanan akhir tapi kami tidak bermain seperti itu.

Cadiz kini terkeluar dari zon penyingkiran dan menduduki tempat ke-16 dua mata mengatasi tiga pasukan tercorot.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 7:13 AM