BARISAN pemain Barcelona meraihkan kejayaan mereka menewaskan Elche. -FOTO EPA
BARISAN pemain Barcelona meraihkan kejayaan mereka menewaskan Elche. -FOTO EPA
AFP

Madrid: Barcelona semakin menghampiri kedudukan empat tempat teratas La Liga sekali lagi apabila pemain berusia 19 tahun Nico Gonzalez meledakkan gol kemenangan lewat perlawanan mengatasi Elche sebelum Atletico Madrid tewas di tangan Sevilla.

Gol Nico terhasil selepas pemain berusia 22 tahun Ferran Jutgla membuat penampilan penuh dan Gavi yang berusia 17 tahun sebelum itu meledakkan jaringan untuk membolehkan Barca mendahului dua gol di Camp Nou.

Namun Elche meledak dua kali dalam tempoh 96 saat selepas sejam permainan menerusi Tete Morente dan Pere Milla tetapi Nico mengesahkan kemenangan 3-2 Barcelona.

Keputusan itu cukup baik buat Barca yang mencari kedudukan empat tempat teratas selepas Atletico tewas 2-1 di Sevilla hasil gol dari Lucas Ocampos minit ke-88 di Ramon Sanchez Pizjuan dan ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut Atletico dalam liga.

"Ia sangat sukar tapi saya tenang," kata Diego Simeone. "Saya percaya skuad yang kami ada."

Barcelona kini di kedudukan ketujuh dua mata di belakang Atletico dan tiga mata di belakang Rayo Vallecano yang menghuni tempat keempat namun kurang satu perlawanan berbanding Rayo.

Sevilla di kedudukan kedua, lima mata di belakang Real Madrid yang akan menentang Cadiz di laman sendiri awal pagi esok

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 9:57 AM