URUGUAY meraikan kejayaan menewaskan Peru dan layak ke Piala Dunia 2022. -FOTO EPA
URUGUAY meraikan kejayaan menewaskan Peru dan layak ke Piala Dunia 2022. -FOTO EPA
AFP

Montevideo: Giorgian de Arrascaeta membawa Uruguay ke Piala Dunia apabila meledakkan gol tunggal ketika menentang Peru, keputusan yang turut memberikan tiket kepada Ecuador ke pusingan akhir di Qatar dengan bantuan Brazil.

Ecuador tewas 3-1 di Paraguay tetapi masih layak ke Piala Dunia buat kali keempat hasil kemenangan Uruguay susulan kemenangan Brazil 4-0 ke atas Chile yang sudahpun layak.

19 pasukan sudahpun layak ke pusingan akhir di Qatar akhir tahun ini dengan 13 tempat lagi masih menjadi rebutan.

Dengan Argentina yang akan menentang Venezuela esok yang sudahpun layak, Peru dan Chile akan bersaing untuk tempat kelima playoff.

Colombia menamatkan kemarau jaringan tujuh perlawanan dengan menewaskan Bolivia 3-0.

Uruguay bangkit daripada kekecewaan tahun lalu di mana mereka tewas empat perlawanan berturut-turut, dibolosi 11 kali, dan hanya satu gol dijaringkan untuk menghuni tangga ketujuh daripada 10 pasukan.

Keputusan itu menyebabkan pengendalinya Oscar Tabarez dipecat, selepas 15 tahun membimbing skuad La Celeste dan membawa mereka ke separuh akhir Piala Dunia 2010 dan suku akhir Copa America tahun lalu.

Penggantinya Diego Alonso menang ketiga-tiga perlawanan dan membawa Uruguay - juara edisi 1930 dan 1950 - ke pusingan akhir buat kali keempat berturut-turut.

Neymar meraikan kepulangannya ke pasukan Brazil dengan menyempurnakan sepakan penalti manakala Vinicius Junior, Philippe Coutinho dan Richarlison melengkapkan kemenangan 4-0 ke atas Chile.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 11:47 AM