ZAHID mahu fokus tugas Umno dan BN.
ZAHID mahu fokus tugas Umno dan BN.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak berminat untuk memimpin mana-mana Persatuan Bolasepak Negeri (FA) buat masa ini kerana fokus dan keutamaan Pengerusi Barisan Nasional itu adalah menguatkan parti.

Terdahulu, namanya dikaitkan untuk dicalon sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi menggantikan Khalid Samad yang berhasrat meletak jawatan.

"Maka terpaksalah saya akui suatu ketika dulu skil permainan bola sepak saya hampir menyamai Lionel Messi atau belakang sedikit berbanding Karim Benzema.

"Tetapi itu tidaklah bermakna saya mengidamkan jawatan presiden mana-mana persatuan bola sepak dalam negara sedangkan ada perkara lebih mustahak untuk diutamakan.

"Saya tidak berminat untuk terlibat dalam mana-mana persatuan bola sepak biarpun pernah menjadi Presiden Pafa (Persatuan Bolasepak Perak). "Saya juga pernah terlibat menjulangkan nama pasukan ATM & PDRM sewaktu menjadi Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri ketika itu.

"Justeru, saya menafikan laporan media tertentu saya adalah calon baharu Presiden KLFA yang memenangi Piala Malaysia tahun lalu. Tumpuan saya pada masa ini adalah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO sebaik mungkin.

"Melaksanakan sejujurnya amanah diberikan oleh akar umbi untuk menggembalikan kegemilangan UMNO dan BN dalam persada politik tanah air.

"Menunaikan secara bersungguh-sungguh kewajipan untuk memastikan kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan dikembalikan di Malaysia," katanya dilaman Facebook miliknya hari ini.

KL City yang menjuarai Piala Malaysia musim lalu dilaporkan gagal membayar gaji pemain selama dua bulan sejak Januari lalu. Difahamkan, tunggakan itu berlaku selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) gagal menyalurkan dana RM5 juta musim ini yang mungkin disebabkan oleh pengaruh politik seperti mana diluahkan Khalid Samad sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 2:41 PM