PEMILIK Chelsea, Abramovich mengesahkan akan menjual kelab itu. FOTO AFP
PEMILIK Chelsea, Abramovich mengesahkan akan menjual kelab itu. FOTO AFP
AFP

London: Pemilik Chelsea dari Rusia, Roman Abramovich berkata beliau terpaksa melakukan keputusan cukup sukar untuk menjual kelab Liga Perdana itu sambil berjanji hasil jualan itu akan diberikan kepada mangsa perang di Ukraine.

Jutawan itu percaya ia adalah demi 'kepentingan terbaik' juara bertahan Liga Juara-Juara itu seandainya dia berpisah dengan kelab yang menyaksikannya melakukan perubahan sejak membelinya pada 2003.

Perkembangan dramatik itu berlaku beberapa hari selepas Abramovich berkata dia menyerahkan Chelsea kepada pemegang amanah yayasan amalnya berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

"Saya sentiasa mengambil keputusan berdasarkan kepada kepentingan terbaik kelab.

"Dalam situasi sekarang, saya mengambil keputusan untuk menjual kelab kerana saya percaya ia adalah untuk kepentingan terbaik kelab, peminat, pekerja serta penaja dan rakan kongsi kelab ini," kata Abramovich dalam satu kenyataan.

Ia pastinya detik sukar untuk bola sepak Inggeris apabila selepas hampir dua dekad, kelab milik Abramovich itu secara konsisten menjadi pencabar untuk meraih trofi kejuaraan.

Chelsea sudah memenangi 19 trofi utama sepanjang era Abramovich, termasuk dua mahkota Liga Juara-Juara dan lima kejuaraan Liga Perdana.

Tetapi penguasan jutawan berusia 55 tahun itu akan berakhir berikutan pencerobohan Rusia ke atas jirannya.

Abramovich yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, menyaksikan namanya belum disenarai hitam oleh kerajan British yang menyasarkan bank Rusia, ahli perniagaan dan taikun pro-Kremlin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 10:07 AM