PESAWAT Boeing 787-8 Dreamliner milik Roman Abramovich. FOTO US Attorney for the Southern District of New York / AFP
PESAWAT Boeing 787-8 Dreamliner milik Roman Abramovich. FOTO US Attorney for the Southern District of New York / AFP
AFP

Washington: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mengarahkan rampasan dua pesawat yang dimiliki oleh ahli perniagaan Rusia, Roman Abramovich yang melanggar perintah sekatan negara itu ke atas Rusia selepas pencerobohannya di Ukraine.

Jabatan itu dalam pemfailan mahkamah menyatakan kedua-dua pesawat, Boeing 787-8 Dreamliner dan jet eksekutif Gulfstream G650ER, diterbangkan ke wilayah Rusia awal tahun ini, dan ia melanggar kawalan eksport Amerika Syarikat (AS) yang ditetapkan untuk pesawat buatan AS, pada 2 Mac lalu.

Langkah jabatan itu menyasarkan Abramovich yang juga salah seorang jutawan Rusia terkaya, sekali gus memaksanya untuk menjual Kelab Bola Sepak Chelsea, ekoran pencerobohan Moscow pada 24 Februari ke atas Ukraine.

Ia bertujuan memberi tekanan kepada orang yang rapat dengan Rusia "untuk menjauhkan diri mereka dari Kremlin kerana terus meningkatkan perang," kata pengarah pasukan petugas KleptoCapture Jabatan Kehakiman, Andrew Adams.

Kedua-dua pesawat yang bernilai AS$400 juta (kira-kira RM1.75 bilion), dipercayai berada di luar jangkauan pegawai AS.

Boeing berkata, pesawat berkenaan mungkin di Dubai, menurut laporan media.

Perintah rampasan itu menggariskan bagaimana Abramovich mengawal kedua-dua pesawat berkenaan melalui satu siri syarikat tersedia (shell company) yang berdaftar di Cyprus.

Usahawan berusia 55 tahun itu, membina kekayaan yang dianggarkan oleh Bloomberg bernilai AS$12.5 bilion (kira-kira RM54.9 bilion) merangkumi minyak, keluli, aluminium dan industri lain.

Beliau mengekalkan hubungan rapat dengan pegawai tertinggi Rusia, termasuk Presiden Vladimir Putin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 7:15 AM