ZAQUAN Adha (tengah) berazam membawa Negeri Sembilan menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tangga kelima carta Liga Super musim ini. -FOTO Mohd Amin Jalil.
ZAQUAN Adha (tengah) berazam membawa Negeri Sembilan menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tangga kelima carta Liga Super musim ini. -FOTO Mohd Amin Jalil.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Kekal diberi amanah selaku kapten pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak menjadikannya sebagai tekanan buat Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M), yang membuka tirainya, Jumaat ini.

Sebaliknya, bekas penyerang kebangsaan itu menyifatkan tugas berkenaan sebagai suatu tanggungjawab yang sedia digalas dengan baik bagi membawa Negeri Sembilan ke mercu kejayaan musim ini.

"Saya tidak merasa tertekan dengan amanah dan tanggungjawab itu kerana sebenarnya ia adalah tanggungjawab bersama dengan rakan-rakan yang lain dalam pasukan ini.

"Walaupun sebagai kapten pasukan, tapi bukan semua orang perlu dengar cakap saya kerana yang penting adalah sama-sama memberikan sumbangan terbaik demi kejayaan pasukan.

"Antara kami perlu berkongsi idea yang baik kerana masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri dalam mengharungi saingan liga dan perlu sama-sama menghadapi perjuangan ini untuk kejayaan pasukan," katanya hari ini.

Mengulas mengenai sasaran pasukan itu musim ini untuk terus kekal dalam Liga Super, pemain berusia 34 tahun itu yang sebelum ini pernah beraksi bersama Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT), yakin sasaran itu boleh dicapai.

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan begitu bersemangat untuk memulakan saingan Liga M musim ini dan yakin Negeri Sembilan mampu bertahan lebih lama dalam saingan Liga Super.

"Saya optimis dengan sasaran pihak pengurusan, pasukan perlu ada saingan yang lebih kompetitif supaya kami dapat menambah baik prestasi pasukan.

"Saya mahukan nama Negeri Sembilan terus kekal dalam kelompok liga utama negara ini kerana pasukan ini pernah berada di kemuncak kejayaan dan seharusnya kedudukan itu dikekalkan," katanya.

Justeru, Zaquan Adha yang kembali bersama skuad Hobin Jang Hobin mulai musim lalu, bukan sahaja mahu pasukan itu kekal dalam Liga Super tetapi dapat meraih pada kedudukan yang baik sekurang-kurangnya menamatkan saingan di tempat kelima carta musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 1:37 PM