CEZARY Kulesza. -FOTO Agensi
CEZARY Kulesza. -FOTO Agensi
AFP

Prague: Persatuan Bola Sepak Czech menegaskan bahawa pasukan kebangsaan mereka tetap dengan keputusan untuk tidak menentang Rusia pada perlawanan play-off Piala Dunia walaupun Fifa berusaha untuk membolehkan Rusia diterima di tengah-tengah ketegangan yang sedang memuncak ke atas Ukraine.

"Tiada perubahan dalam pendirian pasukan kebangsaan Czech walaupun Fifa membenarkan Rusia bermain di peringkat antarabangsa di tempat berkecuali tanpa bendera dan lagu kebangsaan," kata FA dalam satu kenyataan.

Czech perlu menewaskan Sweden di Stockholm dan Russia perlu menewaskan Poland di Moscow pada 24 Mac untuk menetapkan pertembungan antara kedua-dua negara itu lima hari kemudian.

Persekutuan Poland, Sweden dan Czech pada Khamis lalu mengeluarkan kenyataan pada hari Rusia melakukan pencerobohan menuntut Fifa mengatur perlawanan jauh dari Rusia.

Sweden dan Poland pada Sabtu lalu berkata mereka tidak akan menentang Rusia dan perkara yang sama turut diambil oleh Republik Czech.

Fifa kemudiannya memutuskan bahawa Rusia harus bermain perlawanan sendiri di tempat berkecuali dan mengharamkan bendera dan lagu kebangsaan mereka ketika tentera Rusia terus menyerang Ukraine.

Ketua FA Poland, Cezary Kulesza menyifatkan rancangan itu sebagai 'tidak boleh diterima sama sekali.

"Kami tidak berminat untuk bermain perlawanan itu. Keputusan kami tetap sama. Skuad kebangsaan Poland TIDAK AKAN BERMAIN menentang Rusia tidak kira apa nama pasukan itu sekalipun," tweet Kulesza.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 11:00 AM