Penyerang Manchester United, Edinson Cavani (kanan) meraikan kemenangan ke atas Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana. FOTO AFP
Penyerang Manchester United, Edinson Cavani (kanan) meraikan kemenangan ke atas Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana. FOTO AFP
AFP

London: Manchester United mempamerkan kebangkitan menakjubkan untuk menyekat pemburuan Tottenham dalam kelompok empat teratas menerusi kemenangan 3-1, sementara West Ham mendaki ke tangga keempat dalam saingan Liga Perdana ketika tonggak pasukan Jesse Lingard mencetus inspirasi mengatasi Leicester, 3-2.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer ketinggalan dengan jaringan babak pertama Son Heung-min tetapi United meledak tiga kali selepas waktu rehat menerusi Fred, Edinson Cavani dan Mason Greenwood.

Kemenangan keempat berturut-turut liga bagi United yang berada di tangga kedua membalas kekalahan memalukan mereka 1-6 di laman sendiri berdepan Tottenham pada Oktober lalu.

Pelawat dinafikan jaringan awal pembukaan apabila gol Cavani tidak disahkan oleh pengadil perlawanan Chris Kavanagh.

Heung-min meletakkan Tottenham di depan pada minit ke-40 ketika pemain Korea Selatan itu meledak dari jarak dekat selepas Harry Kane dan Lucas Moura menyukarkan pertahanan United.

Tapi United bangkit menyamakan kedudukan minit ke 57 apabila gerakan yang dihasilkan Paul Pogba dan Cavani memberi ruang buat pemain tengah Brazil, Fred meledak gol pertama liga buat dirinya sejak 2018.

Pada minit ke 79, Cavani meledak gol buat pertama kali dalam tujuh perlawanan ketika penyerang Uruguay itu melakukan tandukan selepas menerima umpanan Greenwood.

Greenwood memastikan gol ketiga pada masa kecederaan dan United kini 11 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City dengan satu perlawanan dalam tangan.

"Reaksi terbaik. Kami beraksi dengan sangat baik pada babak kedua. Kami berasa tidak adil (kerana gol yang tidak dibenarkan) dan kami menunjukkan karakter yang bagus untuk bangkit. Kami tidak mahu keputusan itu memusnahkan musim baik ini untuk kami," kata Solskjaer.

Kekalahan itu memberi tamparan hebat kepada impian Tottenham untuk memburu kedudukan empat teratas.

Mereka berada di tangga ketujuh, enam mata di belakang West Ham dan spekulasi mula tercetus mengenai masa depan Jose Mourinho dan bintang Spurs, Kane.

"Pujian bagi saya dengan cara kami memulakan perlawanan, cara kami mengatur permainan. Kemudian apa yang berlaku ketika perlawanan untuk kehilangan mata daripada mendahului suatu ketika adalah situasi yang saya tidak selesa apabila bercakap dengan pihak media," kata Mourinho.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 8:12 AM