GAYA  Vlahovic meraikan jaringan di Stadium Allianz. FOTO EPA
GAYA Vlahovic meraikan jaringan di Stadium Allianz. FOTO EPA
Reuters

Milan: Juara bertahan Juventus mara ke separuh akhir Piala Itali selepas menewaskan Sassuolo 2-1 dan akan berdepan Fiorentina yang menang 3-2 ke atas Atalanta awal pagi tadi.

Juventus mendahului pada minit ketiga hasil ledakan voli Paulo Dybala tetapi Sassuolo menyamakan kedudukan minit ke-23 menerusi rembatan Mattia Perin.

Kedua-dua pasukan mencipta peluang pada babak kedua tetapi Juventus meraih gol kemenangan ketika permainan berbaki dua minit apabila rembatan Dusan Vlahovic terkena pertahanan lawan sebelum menerjah jaring.

Fiorentina turut meraih kemenangan lewat menerusi Nikola Milenkovic yang meledak jaringan pada masa kecederaan di Atalanta.

Krzysztof Piatek meletakkan pelawat di depan menerusi penalti pada awal babak pertama tetapi Davide Zappacosta menyamakan kedudukan selepas setengah jam perlawanan berlangsung.

Jeremie Boga yang dipinjamkan ke Atalanta dari Sassuolo pada Januari lalu menceriakan tuan rumah menerusi jaringan menarik pada minit ke-56.

Fiorentina mendapat satu lagi penalti minit ke-71 selepas Youssef Maleh dikasari Teun Koopmeiners. Sepakan Piatek ditampan Juan Musso namun bola pantas ditolak masuk untuk menyamakan kedudukan.

Ketika permainan sepenuh masa seakan tamat keputusan seri, Milenkovic muncul wira Fiorentina menerusi rembatan kencang ke penjuru gawang tuan rumah untuk mengesahkan kemenangan pasukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 8:39 AM