FIRDAUS Irman berjaya menafikan JDT berpesta gol. -FOTO Ihsan FB NSFC.
FIRDAUS Irman berjaya menafikan JDT berpesta gol. -FOTO Ihsan FB NSFC.

Oleh Mohd Amin Jalil

[email protected]

Seremban: Prestasi memberangsangkan dipamerkan penjaga gol muda Negeri Sembilan FC (NSFC), Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil menunjukkan mampu mengikut jejak, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Ketua jurulatih NSFC, K Devan berkata, pemain muda berusia 22 tahun itu memiliki pakej yang baik untuk meletakkan dirinya sebaris dengan penjaga gol kebangsaan sebelum dan ketika ini.

Katanya, walaupun pemain kelahiran Pulau Pinang itu baru diturunkan dalam empat perlawanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini iaitu tiga dalam Liga Super dan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), kelmarin, namun dia sudah berjaya memperagakan aksi yang memberangsangkan.

"Nampak ada peningkatan dari Firdaus sepanjang empat perlawanan ini. Memang dia ada potensi untuk meningkat naik dengan lebih baik pada masa hadapan.

"Bayangkan jika dia dapat diberikan pendedahan dalam masa sama dapat tingkatkan disiplin serta bekerja keras meningkatkan prestasi, dia boleh bergelar bintang serta mencapai tahap apa yang ada pada Syihan sekarang," katanya.

Firdaus mula mendapat kepercayaan Devan bagi menjaga gawang skuad Hobin Jang Hobin pada perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di gelanggang lawan, 14 Ogos lalu, selepas Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman direhatkan.

Dalam aksi menentang JDT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam kelmarin, Firdaus mendapat pujian Devan dan peminat Negeri Sembilan apabila dia berjaya menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya daripada jentera serangan JDT sekali gus mengelak daripada pasukan itu berpesta gol.

Dalam perlawanan berkenaan, Negeri Sembilan tewas 0-3 kepada skuad Harimau Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 12:21 PM