STANLEY Bernard. FOTO MFL
STANLEY Bernard. FOTO MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Cadangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memperkenalkan waktu perlawanan seawal 8.15 malam selain jam 9.00 malam adalah satu langkah proaktif yang dijangka mampu menaikkan nilai komersial Liga Malaysia (Liga M).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard, situasi itu akan mampu menaikan lagi jumlah tontonan secara tidak langsung apabila semua perlawanan tidak lagi dilangsungkan secara serentak pada waktu sama.

Formula itu hampir sama yang diamalkan oleh kebanyakan liga-liga utama dunia seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam memastikan semua perlawanan dapat disaksikan peminat selain beliau mencadangkan pertembungan pasukan-pasukan besar dapat dijarakkan.

"Jika dilihat dari sudut penyiaran di liga utama dunia seperti EPL yang mempunyai nilai tontonan tertinggi, sememangnya pengasingan jadual perlu dilakukan selain tidak menembungkan pasukan-pasukan besar dalam waktu yang sama.

"Sebagai contoh perlawanan membabitkan Liverpool dan Manchester United pasti tidak akan bertembung kerana sudah pasti mereka mahu penyokong Manchester United menyaksikan perlawanan babitkan Liverpool, begitu juga Liverpool diharapkan menonton aksi Manchester United.

"Jadi faktor-faktor seperti ini akan menaikkan rating di EPL, situasi sama yang saya harapkan mampu berlaku di Liga M apabila penjadualan perlawanan mengikut beberapa waktu berbeza termasuk Sabah dan Sarawak (7.30 malam dan 8.15 malam).

"Setiap penyokong di Malaysia pasti lebih berpeluang menonton aksi pasukan lain apabila waktu sepak mula tidak sama lagi dengan pengenalan lebih awal iaitu 8.15 malam selain 9.00 malam.

"Jadi, saya mahu ucapkan tahniah kepada MFL apabila mendengar berita ini kerana membuat satu langkah yang sangat penting dalam usaha menaikkan nilai penyiaran Liga Malaysia bagi jangka masa panjang, " katanya.

MFL mencadangkan dua waktu sepak mula berbeza iaitu 8.15 dan 9.00 malam manakala perlawanan di bulan Ramadan, 10.00 malam bagi aksi di semenanjung.

Bagi aksi di Sabah serta Sarawak, perlawanan dicadangkan antara 7.30 dan 8.15 malam sementara bulan Ramadan pada jam 9.15 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 3:11 PM