LIGA M bakal mengikuti jejak Liga Perdana Inggeris yang melangsungkan perlawanan pada waktu petang.
LIGA M bakal mengikuti jejak Liga Perdana Inggeris yang melangsungkan perlawanan pada waktu petang.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pengumuman waktu sepak mula baharu yang akan dijalankan pada sebelah petang dilihat tidak akan menjejaskan kemampuan dan kecergasan pemain untuk menampilkan aksi konsisten dalam tempoh 90 minit.

Ketua Unit Prestasi Tinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Reuben Jude Balraj berkata, aspek pemakanan selain kekal hidrat akan memainkan peranan penting untuk memastikan kecergasan pemain di tahap memuaskan terutama apabila beraksi di sebelah petang.

Tambah Reuben lagi, sudah tiba masa semua pasukan menghadapi perubahan yang dilihat lebih proaktif untuk menyesuaikan diri dengan waktu sepak mula baharu selain percaya barisan pemain pada era kini lebih berpengetahuan dalam menjaga tahap kecergasan.

"Saya rasa tiada masalah sama ada bermain petang atau malam sekali pun, cuma dari segi hidrat itu penting kerana mungkin cuaca di waktu petang seperti 5.30 petang agak panas.

"Jadi, kena jaga aspek pemakanan dan juga kena tahu untuk kekal hidrat, tetapi dari segi fizikal saya rasa mereka semua tiada masalah sekiranya persediaan rapi dibuat terutamanya pada pramusim ini.

"Pemain pun kena tahu untuk sentiasa bersedia beraksi dalam apa jua keadaan sebab kita sebelum ini pun pernah bermain dalam keadaan bersalji, jadi persiapan itu sangat penting," katanya.

Sementara itu, tenaga pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim pula berpandangan pemain tidak akan berdepan masalah ketara untuk menghadapi perlawanan kompetitif pada sebelah petang memandangkan rata-rata pasukan juga menjalani latihan di waktu sama.

Jelas beliau, perubahan yang dibuat oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu tepat selain turut mengembalikan kejohanan Piala Cabaran MFL yang akan memberi peluang lebih besar kepada pemain untuk sentiasa mendapatkan minit permainan.

"Saya fikir tiada perbezaan pun pada waktu petang atau malam sebab sudah menjadi kebiasaan apabila mereka juga berlatih pada waktu petang.

"Jadi, saya percaya pemain boleh menyesuaikan tubuh badan mereka untuk hadapi perlawanan kompetitif di sebelah petang dan tidak hanya bermain pada waktu malam," ujarnya.

Terdahulu, MFL mengumumkan waktu sepak mula baharu perlawanan Liga M 2023 iaitu lebih awal pada 5.15 petang atau 5.30 petang di Semenanjung manakala 4.30 petang atau 4.45 petang di Sabah dan Sarawak yang mana ia hanya membabitkan perlawanan hujung minggu.

Terdapat juga perlawanan berlangsung pada waktu malam seperti musim lalu iaitu pada jam 8.15 malam atau 9 malam di Semenanjung manakala 7.30 malam atau 8.15 malam di Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 9:42 PM