JAMES terbaring kesakitan selepas dikasari Bissouma.
JAMES terbaring kesakitan selepas dikasari Bissouma.
Agensi

London: Chelsea berdepan krisis kecederaan berganda di bahagian pertahanan menjelang pertembungan dengan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Ahad ini.

Skuad Thomas Tuchel yang telah pun kehilangan Ben Chilwell dan Thiago Silva kini dijangka tanpa Reece James dalam aksi getir di Stamford Bridge.

Pemain berusia 22 tahun itu dikeluarkan pada minit ke-26 ketika menentang Brighton dan pemeriksaan awal mendapati James mungkin mengalami kecederaan hamstring susulan terjahan Yves Bissouma sekali gus Chelsea mungkin tanpa tiga tonggak pertahanan ketika menerima kunjungan Liverpool.

Pertahanan tengah, Andreas Christensen turut dijangka tidak beraksi selepas digantikan pada babak pertama.

Pemain Denmark itu tercedera lima minit sebelum insiden sama menimpa James tetapi kembali beraksi selepas dinilai petugas perubatan di tepi padang.

Trevoh Chalobah dimasukkan pada babak kedua bagi mengelakkan kecederaan Christensen lebih serius.

Satu petanda positif bagi skuad Tuchel ialah N'Golo Kante berada di bangku simpanan dan dimasukkan ketika permainan berbaki 23 minit.

Pemain tengah Perancis itu hanya beraksi sehingga minit ke-63 ketika menewaskan Aston Villa sebelum dikeluarkan susulan tidak mampu meneruskan permainan.

Kai Havertz turut tersenarai selepas tamat tempoh kuarantin manakala Ruben Loftus-Cheek dan Timo Werner masih tidak kelihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 10:50 PM