JORDAN Pickford
JORDAN Pickford
AFP

London: Penampilan pertama Jordan Pickford (gambar) dan Ruben Loftus-Cheek bersama England tidak mengecewakan apabila skuad kendalian Gareth Southgate seri 0-0 dengan juara dunia, Jerman pada aksi persahabatan, awal pagi semalam.

Penjaga gol Everton, Pickford, 23, berjaya menyelamatkan beberapa percubaan bahaya manakala pemain tengah Chelsea berusia 21 tahun, Loftus-Cheek yang kini dipinjamkan ke Crystal Palace memberi aksi meyakinkan ketika menyarung jersi nombor 10.

Ini kali kedua dalam tujuh perlawanan England berjaya mengelak kekalahan menentang Jerman di Wembley.

Satu lagi perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri ketika saingan separuh akhir Euro 96 yang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Southgate antara pemain yang beraksi dalam perlawanan itu namun kali ini beliau boleh bergembira dengan keputusan yang dicapai selaku pengurus England.

Bagaimanapun ketiadaan Phil Jones yang ditimpa kecederaan pada babak pertama menyebabkan pengurus England itu kekurangan pilihan menjelang satu lagi aksi persahabatan dengan Brazil Selasa ini.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew yang menurunkan pemain pertahanan RB Leipzig Marcel Halstenberg buat kali pertama, hampir meraih gol kemenangan namun rembatan pemain sayap Leroy Sane sekadar singgah di palang gol pada babak pertama.

Skuad juara Piala Konfederasi itu gagal mencatat lapan kemenangan berturut-turut namun, mereka kini meneruskan rekod tanpa kalah 20 perlawanan sebelum menutup tirai tahun ini dengan menanti kunjungan Perancis, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 5:59 AM