CHENG Hoe akui kepantasan pemain Indonesia menghukum kelemahan benteng pertahanan negara. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
CHENG Hoe akui kepantasan pemain Indonesia menghukum kelemahan benteng pertahanan negara. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Singapura: Ketiadaan dua tonggak pertahanan tengah negara, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Saad dilihat punca mengapa skuad Harimau Malaya gagal mengekang asakan pantas Indonesia dan akhirnya tumbang 1-4 dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional Singapura, di sini, malam tadi.

Jelas pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, empat gol yang diraih skuad Garuda adalah kesilapan mudah tonggak pertahanan negara yang tidak seharusnya berlaku.

"Kita kehilangan dua pemain utama di pertahanan dan sebab itulah kita dibolosi gol yang mudah.

"Pemain Indonesia pantas menghukum kelemahan pertahanan kita dan sebab itu kita gagal walaupun mendahului pada awalnya," katanya selepas aksi kedua-dua pasukan itu.

Dalam aksi itu, Malaysia terlebih dulu mendahului perlawanan pada minit ke-13 menerusi R Kogileswaran yang gagal ditampan penjaga gol lawan, Nadeo Arga Winata.

Begitupun semangat waja pemain muda Indonesia cukup tinggi dan mereka berjaya meraih empat gol menerusi dua gol Irfan Jaya (m-36 dan m-42), Pratama Alif Rifai (m-49) dan Elkan Baggot (m-81).

Sementara itu, jurulatih Indonesia, Shin Tae Yong memberi pujian kepada anak buahnya dan mengakui pasukan semakin menunjukkan peningkatan.

"Pemain makin meningkat dan saya cukup gembira dengan perkembangan pasukan. Terima kasih kepada pemain-pemain saya," kata bekas pengendali Korea Selatan itu.

Di separuh akhir nanti, Indonesia akan bertemu Singapura manakala, Thailand dijadual berdepan juara bertahan pasukan Vietnam pada Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 11:05 PM