PEMAIN negara meraikan jaringan ketika menentang Singapura. FOTO MHC
PEMAIN negara meraikan jaringan ketika menentang Singapura. FOTO MHC
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad hoki dalam dewan wanita negara mengesahkan slot ke separuh akhir dengan penuh bergaya selepas membenam Singapura 6-0 pada aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 di Bangkok, hari ini.

Dalam perlawanan di Stadium Tertutup Huamark itu, skuad bimbingan Mohd Rodhanizam Mat Radzi tidak berdepan kesukaran apabila membuka jaringan menerusi gol padang Fazilla Sylvester Silin pada minit ke-19.

Nuraini Abdul Rashid kemudian menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-24 hasil jaringan padang untuk meletakkan skuad negara dalam kedudukan selesa.

Selang empat minit kemudian, giliran Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi pula menyumbangkan gol ketiga sebelum Nuraini menambah gol keempat hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-29.

Pesta gol skuad negara diteruskan lagi pada suku terakhir perlawanan menerusi pukulan sudut penalti masing-masing oleh Iren Hussin dan Qasidah Najwa Muhammad Halimi, pada minit ke-33 dan ke-34.

Singapura yang terus terpaku dengan persembahan skuad negara gagal membuat sebarang jaringan balas sehingga wisel penamat ditiup.

"Pemain bermain dengan baik sebagai satu pasukan. Walaupun kita tahu perlawanan dengan Singapura cuma untuk melengkapkan jadual, kita ambil serius perlawanan ini untuk mempersiapkan diri kita untuk perlawanan separuh akhir nanti.

"Banyak kesilapan mudah dilakukan pemain, mereka dapat memperbaiki dalam perlawanan dengan baik. Apa-apa pun saya bangga dengan pemain kerana memberikan yang terbaik untuk perlawanan hari ini," menurut Mohd Rodhanizam menerusi kenyataan.

Menanti skuad negara pada pusingan separuh akhir ialah Indonesia atau Kazakhstan yang akan bertemu dalam aksi terakhir Kumpulan A hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 6:20 PM