MESSI jaring hatrik ketika menentang Haiti. -Foto Reuters
MESSI jaring hatrik ketika menentang Haiti. -Foto Reuters
Reuters

ARGENTINA sekali lagi membuktikan kebergantungan mereka kepada Lionel Messi apabila penyerang Barcelona itu meledak hatrik ketika menang 4-0 ke atas Haiti dalam aksi pemanas badan Piala Dunia semalam.

Ketika Javier Mascherano membuat penampilan ke-143, mengatasi Javier Zanetti sebagai pemain Argentina dengan penampilan terbanyak, Messi menjaringkan gol awal pada minit ke-17 menerusi penalti.

Dia menggandakan jaringan mereka 12 minit selepas separuh masa kedua dengan menolak bola mudah selepas penjaga gol hanya mampu menapis tandukan, menjaringkan gol ketiga pada minit ke-65 sebelum membantu Sergio Aguero untuk gol keempat mereka empat minit kemudian.

Argentina yang gagal menambah jaringan wajar menang lebih besar ke atas Haiti yang tampil di Piala Dunia sekali pada 1974 dan berada di ranking ke-108 dunia, 103 tangga di bawah mereka.

“Apa yang penting daripada keputusan ini, kami boleh mengucapkan selamat tinggal kepada peminat dan membuktikan kami datang ke Russia dengan harapan,” kata Messi.

“Kami bukan datang selaku pasukan pilihan kerana berdepan kesulitan ketika kelayakan tetapi kami berlatih dengan baik dan memberikan segala-galanya.”

Aguero kembali cergas selepas menjalani pembedahan lutut, namun memulakan perlawanan di bangku simpanan manakala Gonzalo Higuain dan Angel Di Maria bergandingan dengan Messi dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun kedua-dua pemain itu gagal menyerlah, sebaliknya Aguero dan pemain Boca Juniors, Christian Pavon mencipta impak sebaik diturunkan selepas sejam perlawanan.

Argentina kini menuju ke Barcelona untuk persiapan perlawanan Piala Dunia menentang Iceland pada 16 Jun, Croatia pada 21 Jun dan Nigeria pada 26 Jun. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 12:27 PM