MARADONA (tengah) meraikan kemenangan Argentina ketika bertemu Nigeria. -Foto Reuters
MARADONA (tengah) meraikan kemenangan Argentina ketika bertemu Nigeria. -Foto Reuters
Reuters

ST PETERSBURG: Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona berkata, dia berada dalam keadaan baik selepas kelihatan sakit ketika negara itu berdepan perlawanan mendebarkan bertemu Nigeria pada kempen Piala Dunia, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, kelibatnya juga mencuri tumpuan susulan reaksinya ketika meraikan gol jaringan Marcos Rojo buat Argentina, sekali gus membawa pasukan Amerika Selatan berkenaan ke pusingan kalah mati.

“Saya mahu memaklumkan kepada semua yang saya berada dalam keadaan baik dan tidak dimasukkan ke hospital,” kata Maradona menerusi akaun Instagramnya.

Maradona yang dilihat dibantu untuk berjalan daripada kerusinya dan mengakui perlawanan di St Petersburg cukup mendebarkan berkata, doktor mencadangkan supaya dia pulang ketika waktu rehat selepas mengalami sakit leher.

“Namun, saya mahu kekal kerana ia perlawanan yang cukup penting. Bagaimana saya boleh meninggalkan stadium?

“Ciuman untuk kamu semua, minta maaf jika perkara ini mencetuskan kebimbangan dan terima kasih kerana mengambil berat mengenai diri saya, Diego Maradona masih hidup,” katanya.

Bagaimanapun, Maradona sekali lagi mencuri tumpuan apabila dia dirakam televisyen menunjuk dua jari tengahnya ketika meraikan gol kemenangan Marcos Rojo yang mengesahkan kelayakan mereka.

“Daripada tangan Tuhan kepada jari yang memalukan,” tajuk laporan berita di Amerika Latin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 6:25 PM