PEMAIN Leicester meraikan jaringan Tielemens (kanan) ketika mereka mengalahkan Newcastle 4-0. FOTO AFP
PEMAIN Leicester meraikan jaringan Tielemens (kanan) ketika mereka mengalahkan Newcastle 4-0. FOTO AFP
AFP

London: Leicester terus membuatkan Newcastle bergelut di zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 4-0 walaupun mereka kehilangan tujuh pemain akibat Covid-19.

Pengendali Leicester Brendan Rodgers ternyata lega dengan kemenangan itu tatkala EPL dihimpit dengan masalah Covid-19.

The Foxes memberikan Eddie Howe satu lagi peringatan bahawa beliau berdepan tugas sukar untuk mengekalkan Newcastle dalam saingan EPL.

"Pemain sangat cemerlang ketika berdepan tempoh mencabar dengan semuanya berjalan seperti dimahukan. Ia satu ujian buat kekuatan mental mereka.

"Kami mempunyai pemain yang mampu mengubah rentak permainan dan juga daya kepimpinan tinggi. Apabila anda tidak melakukan kesilapan kami adalah pasukan yang mampu bertahan dengan baik," kata Rodgers.

Leicester hanya menang dua kali daripada sembilan perlawanan dalam semua kejohanan dan disingkirkan dari saingan Liga Europa oleh Napoli Jumaat lalu.

Mereka berjaya memperoleh jaringan sebelum tamat separuh masa pertama selepas James Maddison dijatuhkan Javier Manquillo dalam kotak penalti.

Youri Tielemans tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti sebelum Patson Daka menambah gol kedua pada minit ke-57 selepas menerima hantaran Harvey Barnes.

Tielemens meledak gol kedua peribadi hasil gerakan berpasukan mantap dan Leicester mengesahkan kemenangan dengan jaringan keempat melalui Maddison lima minit sebelum perlawanan tamat.

Kemenangan itu membolehkan Leicester melonjak ke tangga kelapan dan kembali dalam pertarungan memburu kedudukan empat terbaik selepas mereka tersingkir di Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 8:21 AM