Mane (kanan) dikasari oleh Albrighton ketika perlawanan di Anfield. FOTO REUTERS
Mane (kanan) dikasari oleh Albrighton ketika perlawanan di Anfield. FOTO REUTERS
Shearer merasakan Liverpool tidak patut mendapat penalti. FOTO BBC
Shearer merasakan Liverpool tidak patut mendapat penalti. FOTO BBC
Agensi

ALAN Shearer menuduh Sadio Mane ‘menjatuhkan’ badan untuk membolehkan Liverpool mendapat sepakan penalti pada penghujung perlawanan ketika menang 2-1 ke atas Leicester City di Anfield.

Mane jatuh ke atas padang selepas dicabar oleh Marc Albrighton sebelum pengadil Chris Kavanagh memberikan sepakan penalti kepada skuad Jurgen Klopp, malam tadi.

Video Bantu Pengadil (VAR) memberi sokongan terhadap keputusan asal Kavanagh sebelum James Milner menyudahkan sepakan itu sekaligus membolehkan Liverpool melebarkan pendahuluan selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan lapan mata.

Perbalahan tercetus selepas perlawanan membabitkan pemain kedua-dua pasukan ketika Leicester jelas tidak senang dengan kekalahan saat akhir dialami mereka.

Shearer, bekas legenda Newcastle merasakan mereka (Leicester) berhak untuk berasa kecewa.

“Saya tidak merasakan ia sepakan penalti, saya rasa dia sengaja menjatuhkan badannya,” kata Shearer pada Match of the Day.

“Ia sukan membabitkan sentuhan badan. Mane mengenakan badannya pada Albrighton dan mengambil keputusan untuk jatuh.”

Pandangan serta sentimen Shearer itu dikongsi oleh bos Leicester Brendan Rodgers yang berkata selepas perlawanan penalti dianugerahkan itu tidak jelas dan tidak sepatutnya diberikan.

Liverpool mendahului pelawat menerusi tolakan tenang Mane pada m-40 tetapi James Maddison kelihatan seperti meraih satu mata buat Leicester menerusi satu rembatan m-80 menewaskan Adrian.

Jaringan Milner pada masa kecederaan menafikan mata satu mata buat Rodgers pada penampilan pertamanya semula ke Anfield sejak dipecat kelab itu pada 2015.

Kejayaan buat Liverpool bermakna mereka kini menang kali ke-17 berturut-turut dan hanya kurang satu kemenangan lagi untuk menyamai rekod Manchester City yang mencatat 18.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 6:15 PM