AKSI Foden mengawal bola ketika menentang Leipzig.
AKSI Foden mengawal bola ketika menentang Leipzig.
Agensi

London: Phil Foden tersenarai antara tiga pemain muda paling bernilai di Eropah.

Penyerang Manchester City berusia 21 tahun itu mempunyai nilai anggaran perpindahan £128 juta (RM712.77 juta), menurut laporan CIES Football Observatory semalam.

Laporan itu menganalisa 60 pemain berprofil tinggi di bawah usia 23 tahun yang beraksi di lima liga utama Eropah iaitu Liga Perdana, La Liga, Bundesliga, Serie A dan Ligue 1.

Penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland, 21, dan penyerang Real Madrid, Vinicius Junior, 21, turut diberikan nilai sama dengan Foden.

Penyerang Manchester United, Mason Greenwood, 20, terikat di tangga keempat dengan anggaran nilai £119 juta (RM662.64j) bersama bintang Barcelona Pedri, 19, dan pemain Bayer Leverkusen berusia 18 tahun, Florian Wirtz.

Walaupun kurang menyerlah pada awal musim di Old Trafford, Jadon Sancho, 21, menduduki tangga ketujuh dengan nilai £111j (RM618j) berbanding dengan harga £73j (RM406.49j) yang dibayar United untuk mendapatkannya pada Julai.

Manakala penyerang Manchester City Ferran Torres (21) bernilai £102j (RM567.98j), yuran yang sukar dipenuhi oleh Barcelona yang dikaitkan dengan pemain antarabangsa Sepanyol itu.

Dua lagi pemain yang bernilai sama ialah pemain Borussia Dortmund dari England, Jude Bellingham (18) dan pertahanan Bayern Munich, Alphonso Davies, 21, satu-satunya pemain pertahanan yang tersenarai dalam kelompok 10 teratas.

Satu nama besar yang tersisih ialah bintang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe selepas pemain Perancis berusia 22 tahun itu tamat kontrak penghujung musim ini dan mungkin menyertai kelab lain dengan percuma.

Real Madrid dilaporkan sedia mengeluarkan £197j RM1.09b) untuk menandatangani Mbappe pada musim panas tetapi PSG enggan menjualnya kepada gergasi Sepanyol itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 10:00 PM