Luqman Hakim Shamsudin. FOTO File NSTP
Luqman Hakim Shamsudin. FOTO File NSTP

PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin berpeluang cerah berada dalam senarai akhir 20 pemain selepas terus mengungguli undian bagi Anugerah Golden Boy anjuran Tuttosport.

Sehingga jam 2 petang semalam, pemain yang bakal menyertai pasukan Liga Belgium, KV Kortrijk itu mendahului dengan menerima 3,949 undian atau 14 peratus daripada 27,911 secara keseluruhan.

Pencabar terdekatnya adalah pemain Sporting Lisbon, Eduardo Quaresma yang memperoleh lapan peratus atau 2,238 undian, diikuti pemain tengah Red Salzburg, Dominik Szoboszlai, sebanyak enam peratus (1,664 undian).

Sementara beberapa nama besar jauh ketinggalan antaranya penyerang Manchester United, Mason Greenwood memperoleh lima peratus; penyerang prolifik Borussia Dortmund, Erling Haaland (empat peratus) dan pertahanan Bayern Munich, Alphonse Davies (dua peratus).

Manakala penyerang muda Manchester City, Phil Foden serta pemain sayap Chelsea, Callum Hudson Odoi dengan masing-masing satu peratus.

Daripada 80 nama yang dicalonkan ini, jumlahnya akan disaring kepada 20 pemain yang dipilih menerusi undian awam sebelum 40 panel yang terdiri daripada wartawan pelbagai negara dan penerbitan akan memilih pemenang keseluruhan.

Bagaimanapun, nama Haaland disebut sebut sebagai calon pemenang paling layak berdasarkan prestasi semasanya yang memukau selepas menyertai Borussia Dortmund pada Januari lalu.

Anugerah Golden Boy sebelum ini pernah dimenangi pemain Atletico Madrid, Joao Felix, Kylian Mbappe (2017), Raheem Sterling (2014), Lionel Messi (2005), Wayne Rooney (2004), dan Rafael van der Vaart (2003).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 2:53 PM