Jurulatih JDT, Benjamin Mora. FOTO File NSTP
Jurulatih JDT, Benjamin Mora. FOTO File NSTP
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora optimis barisan pemainnya sudah bersedia mengharungi kempen Liga Juara-Juara (ACL) menentang Nagoya Grampus pada aksi Kumpulan G di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, esok.

Mora mengakui aksi pertama menentang kelab dari Jepun itu yang kini berada di tangga kedua Liga Satu Jepun (J1 League) merupakan cabaran harus ditempuhi namun tetap akan beri tentangan sengit dalam usaha mencipta kemenangan.

"Musim lalu kami tidak dapat meneruskan saingan ACL akibat pandemik Covid-19 dan musim ini adalah peluang terbaik untuk beri persembahan terbaik walaupun kami tahu akan berdepan cabaran getir menentang kelab ternama dari Thailand, Jepun dan Korea Selatan.

"Lawan tampak serba lengkap dengan dibimbing jurulatih berpengalaman dari Itali (Massimo Ficcadenti) dan mereka mengamalkan corak permainan pantas dan ia satu perlawanan yang menarik tatkala JDT juga ada falsafah permainan tersendiri.

"Kami perlu awasi kelicikan pemain nombor 10 (Gabriel Xavier); nombor 11 (Yuki Soma), nombor 16 (Matues) dan nombor 9 (Ryogo Yamasaki) kerana mereka adalah pemain berbahaya dan sering mengamal corak permainan serangan selain beraksi dengan corak tersusun," katanya.

Mora juga tidak menafikan betapa barisan pertahanan skuad bimbingan Ficcadenti tampak ampuh dengan kelibat dua pemain import yang beraksi di posisi tengah yang mampu menyekat kemaraan JDT selain bertindak mengatur serangan Beliau menambah, barisan pemainnya harus bersikap berhati-hati dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah kerana pasukan lawan akan menghidu dan bertindak pantas untuk menghukum JDT jika ada kesilapan dilakukan pemain.

"Setiap perancangan untuk aksi pertama dirangka dengan teliti dan pemain hanya mengikut apa jua rancangan yang disusun tanpa beraksi dalam tekanan.

"Mengenai ketiadaan 14 pemain JDT yang tidak bersama pasukan itu sepanjang persiapan kempen ACL kerana bersama skuad kebangsaan, sebenarnya tidak ada isu. Sebaliknya mereka sudah berlatih bersama dan beraksi dalam satu pasukan dalam saingan liga domestik.

"Mereka saling memahami antara satu sama lain terutama cara bermain dan tahu tempo permainan masing-masing. Jadi tidak timbul masalah apabila mereka tidak berlatih hampir sebulan bersama JDT," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 6:52 PM