DIOGO Jota (tengah) ledakan gol pertama Liverpool. -FOTO EPA
DIOGO Jota (tengah) ledakan gol pertama Liverpool. -FOTO EPA
AFP

Liverpool: Liverpool mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas berjaya membalas dendam terhadap Atletico Madrid yang beraksi dengan 10 pemain untuk menang 2-0 di Anfield biarpun saingan masih berbaki dua perlawanan.

Gol dalam tempoh 21 minit dari Diogo Jota dan Sadio Mane meletakkan juara Sepanyol itu di kedudukan sukar selepas Felipe di buang padang kerana melakukan kekasaran terhadap Mane.

Mata maksimum daripada empat perlawanan sudah cukup memastikan Liverpool menjuarai Kumpulan B dan memastikan kelebihan buat tuan rumah menjelang perlawanan kelompok 16 terakhir tahun baru nanti.

Reds kini melebarkan rekod tanpa kalah ke-25 perlawanan dalam semua pertandingan bermula akhir musim lalu, menyamai rekod kelab.

Menang keempat perlawanan berturut-turut dalam kumpulan sukar yang turut di sertai Porto dan AC Milan itu menyaksikan bahawa juara 2019 itu memberi amaran dan mereka kini antara pencabar utama untuk memenangi Liga Juara-Juara.

"Anda akan dapat banyak duit jika menang perlawanan di Liga Juara-Juara," kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.

"Sasaran pertama adalah melepasi kumpulan ini dan kami berjaya lakukan dengan berbaki dua perlawanan.

"Ia peringkat kumpulan yang menakjubkan. Saya tidak menjangka perkara ini apabila melihat undian. Tugas malam ini sudah selesai, tapi kami semua tahu masih ada dua perlawanan lagi dan kami akan cuba untuk menang kesemuanya."

Atletico pula perlu berusaha keras untuk mara ke pusingan kalah mati yang mana mereka kini berkedudukan tempat ketiga, satu mata di belakang Porto dan masih mempunyai dua perlawanan lagi.

"Dalam beberapa musim kebelakangan ini, kami berdepan situasi seperti ini," kata Simeone yang terpaksa berusaha keras untuk mara ke kelompok 16 terbaik.

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk meningkat dan kami masih ada lagi baki dua perlawanan selepas ini."

20 bulan lalu, kedua-dua pasukan itu bertemu yang menyaksikan kemenangan dramatik Atletico untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dalam aksi yang dibayangi ancaman Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 8:33 AM