PEMAIN Benfica meraikan jaringan ketika tewas 2-3 di tangan Braga, Jumaat lalu. FOTO Reuters
PEMAIN Benfica meraikan jaringan ketika tewas 2-3 di tangan Braga, Jumaat lalu. FOTO Reuters
AFP

Lisbon: Benfica berdepan misi sukar di suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, esok, tetapi selepas menyingkirkan Barcelona dan Ajax, mereka percaya mampu mengejutkan Liverpool pula.

Ramai menjangkakan Benfica pasukan paling lemah selepas undian dibuat di Nyon, bulan lalu, selepas ia muncul kelab Portugal paling jauh melangkah dalam Liga Juara-Juara Eropah dalam tempoh enam tahun.

Kali terakhir Benfica mara ke separuh akhir, mereka kemudian layak ke final pada 1990, apabila pasukan bimbangan Sven-Goran Eriksson tewas 1-0 kepada AC Milan dan terlepas peluang menjulang Piala Eropah buat kali ketiga.

Ia adalah kali terakhir Benfica berada dalam kelompok elit Eropah dan sudah pasti satu kejutan besar jika mereka dapat menyingkirkan Liverpool yang dianggap pasukan pilihan memenangi gelaran kali ini bersama Manchester City.

Pencapaian menarik Benfica di peringkat Eropah jauh berbeza dengan kempen domestik apabila menyingkirkan jurulatih, Jorge Jesus pada Disember lalu selepas tumpas 3-0 di tangan Porto dan hanya menang tujuh daripada 15 perlawanan awal.

Prestasi mereka tidak banyak meningkat di bawah pengendali sementara, Nelson Verissimo, yang hanya menang dua daripada tujuh perlawanan pertama.

Kekalahan 3-2 di tangan Braga, Jumaat lalu menyaksikan mereka menduduki tempat ketiga Primeira Liga, ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Porto dan enam mata di belakang Sporting Lisbon.

Tempat ketiga di Portugal sudah layak untuk beraksi peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami sedar berdepan lawan hebat seperti Liverpool, tetapi perlu terus berjuang dan cuba bermain lebih baik," kata Verissimo, Jumaat lalu.

"Kami perlu bekerja keras. Liga Juara-Juara Eropah adalah perlawanan berbeza. Kami tidak boleh melupakan perlawanan hari ini dan perlu memperbetulkan keadaan."

Benfica menang agregat 3-2 ke atas Ajax untuk mara ke suku akhir selepas seri 2-2 di tempat sendiri dan mencipta kemenangan mengejut 1-0 di Amsterdam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 1:32 PM