Bekas jurulatih Inter Milan dan Chelsea, Antonio Conte. FOTO Agensi
Bekas jurulatih Inter Milan dan Chelsea, Antonio Conte. FOTO Agensi
AFP

London: Tottenham dilaporkan sedang mengadakan berbincang lanjut bersama Antonio Conte selepas memecat Nuno Espirito Santo susulan aksi hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Bekas bos Inter Milan dan Chelsea itu difahamkan menjadi sasaran utama bagi kelab berpangkalan di London itu selepas memecat Santo semalam hanya selepas empat bulan.

Spurs menghubungi Conte bagi menggantikan Jose Mourinho awal tahun ini tetapi gagal meyakinkan pengendali dari Itali itu untuk mengambil alih jawatan berkenaan.

Jika pengendali berusia 52 tahun itu menerima tawaran Tottenham, dia akan kembali ke Liga Perdana tiga tahun selepas meninggalkan pencabar dari London, Chelsea, kelab dibimbingnya untuk meraih gelaran Liga Perdana dan Piala FA.

Dilaporkan Conte dan wakilnya bertemu pegawai Tottenham di London semalam dan bersetuju dengan kontrak 18 bulan hingga 2023.

Dia dijangka akan diumumkan sebagai bos baharu Tottenham hari ini dan akan mengetuai perlawanan pertama dalam Liga Konferensi di laman sendiri berdepan Vitesse Arnhem, awal pagi Jumaat ini.

Perlawanan pertama Conte bagi aksi Liga Perdana pula berdepan Everton pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 8:23 AM