Pengendali Tottenham, Antonio Conte memberi arahan kepada pemainnya. FOTO EPA
Pengendali Tottenham, Antonio Conte memberi arahan kepada pemainnya. FOTO EPA
Agensi

London: Bos baharu Tottenham, Antonio Conte berkata 'kesungguhan' yang dipamerkan pemain membuatkan dia menaruh keyakinan tinggi kepada pasukannya itu ketika perlawanan pertama dalam Liga Perdana Inggeris sebagai pengendali mereka berakhir seri tanpa jaringan di Everton.

Conte memulakan tugas sebagai pengendali Tottenham Hotspur ketika mencatat kemenangan ke atas Vitesse, 3-2 dalam Liga Konferensi Europa, Khamis lalu sekali gus membuktikan kredibiliti sebagai pengendali berpengalaman.

Pengendali dari Itali itu mengekalkan corak taktikal 3-4-3 dan menamakan pemain kesebelasan utama dalam usaha kembali bangkit di Goodison Park yang turut menyaksikan Mason Holgate dilayangkan kad merah pada lewat perlawanan buat pasukan tuan rumah.

Bos Spurs itu berkata "ada sebab lain yang membuatkan dia gembira" susulan aksi baik, sekalipun Tottenham gagal memecah kebuntuan jaringan dalam dua perlawanan Liga Perdana Inggeris berturut-turut.

"Hari ini saya dapat melihat kesungguhan pemain saya, minat mereka, sanggup berjuang, berkorban, dan untuk memahami keadaan ketika ini agak sukar buat mereka." kata Conte.

"Dan selepas melihat aksi mereka ia membuatkan saya rasa lebih yakin mengenai masa depan saya.

"Kadangkala anda boleh mengajar pemain aspek taktikal dan fizikal, tetapi jiwa dan kesungguhan itu sendiri perlu ada. Pemain saya menonjolkan posisi yang baik, ini adalah langkah yang baik sebagai permulaan."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 12:42 PM