MALONEY tidak memilih mana-mana pasukan sebaliknya melihat ia sebagai satu peluang buat skuad negara berdepan pasukan terkuat benua ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
MALONEY tidak memilih mana-mana pasukan sebaliknya melihat ia sebagai satu peluang buat skuad negara berdepan pasukan terkuat benua ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Meskipun menjuarai Kumpulan J pada kempen Kelayakan Piala Asia bawah 23 (B-23) di Mongolia pada hujung bulan lalu, laluan berliku dijangka bakal ditempuhi skuad muda negara menjelang pusingan akhir di Uzbekistan dari 1-19 Jun depan.

Jangkaan itu selepas kedudukan balang untuk undian peringkat akhir itu menyaksikan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menggunakan keputusan saingan edisi lalu di Bangkok, Thailand dengan Malaysia gagal layak tahun lalu.

Lantas, skuad kendalian Brad Maloney bakal berada di balang keempat dengan pasukan terkuat Asia seperti Korea Selatan, Arab Saudi, Iran, Jepun, Australia serta Qatar menghuni balang satu, dua dan tiga.

Maloney yang dihubungi mengakui cabaran sukar bakal dilalui anak buahnya di Uzbekistan nanti.

"16 pasukan yang layak semuanya terbaik dan memiliki kekuatan tersendiri begitu juga pasukan kita.

"Tetapi saya tidak memilih mana-mana pasukan sebaliknya melihat ia sebagai satu peluang buat skuad negara berdepan pasukan terkuat benua ini.

"Banyak benda baharu yang pemain negara boleh belajar dengan pasukan gergasi di Asia nanti. Jadi saya tidak siapa lawan kita di pusingan akhir nanti," katanya kepada Arena Metro.

Pada aksi kelayakan tempoh hari, skuad B-23 negara berjaya menamatkan kedudukan selaku juara kumpulan sekaligus layak automatik ke saingan 16 terbaik.Dalam kempen kelayakan itu, Malaysia mengekalkan rekod bersih dalam tiga aksi apabila menewaskan Laos dan Mongolia 1-0 selain diikat tanpa jaringan dengan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 9:36 PM