CORBIN ledakkan gol ketiga Harimau Malaya. -FOTO Aizuddin Saad
CORBIN ledakkan gol ketiga Harimau Malaya. -FOTO Aizuddin Saad
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan kiri negara, Corbin Ong mengakui jaringan ketiga yang dilakukan ketika membantu pasukan melakar kemenangan 3-1 ke atas Turkmenistan adalah yang terbaik sepanjang kariernya.

Gol yang terhasil pada masa kecederaan babak pertama itu sememangnya menakjubkan di mana tonggak kacukan itu bergerak solo dari bawah hingga ke dalam kotak penalti lawan untuk meledak jaringan.

Situasi itu amat jarang berlaku apatah lagi dia juga berjaya memperdayakan beberapa tonggak pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan rendah yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Turkmenistan.

"Gol hari ini (malam tadi) jaringan terbaik yang pernah saya lakukan, tetapi setiap jaringan adalah penting dan setiap gol akan dapat membantu pasukan.

"Sudah sekian lama saya tidak menjaringkan gol seperti ini, tapi yang penting saya sangat gembira dapat membantu pasukan," katanya sejurus tamat aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Dalam aksi di depan kira-kira 21,591 penyokong tempatan itu, skuad kendalian Kim Pan-gon memulakan kempen Kelayakan Piala Asia dengan langkah kanan selepas menundukkan Turkmenistan itu.

Selain Corbin yang meledak gol, dua lagi rakan sepasukannya iaitu Safawi Rasid dan Faisal Halim turut mencetak nama selaku penjaring untuk menghadiahkan tiga mata maksimum buat tuan rumah.

Untuk rekod, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sudah meledak dua gol daripada 19 penampilan buat skuad negara sejak mula menyertai pasukan pada 2019 lalu.

Gol pertamanya di pentas antarabangsa ketika membantu Malaysia membelasah Timor Leste 7-1 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 pada 2019 lalu.

Bersama JDT pula, Corbin merekodkan satu gol dalam 76 penampilan buat skuad Harimau Selatan sejak 2018 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 1:52 PM