MALONEY (tiga dari kiri) berkata, pasukan Laos kemungkinan tampil berbeza berbanding beberapa tahun lalu sekali gus menuntut anak buahnya lebih berhati-hati. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
MALONEY (tiga dari kiri) berkata, pasukan Laos kemungkinan tampil berbeza berbanding beberapa tahun lalu sekali gus menuntut anak buahnya lebih berhati-hati. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msarmohd
syazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jika bersandarkan kepada rekod pertemuan kemungkinan besar tiada masalah skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara membaham Laos pada pertemuan pertama aksi Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia bermula esok.

Namun, hakikatnya perlawanan terbabit sebenarnya tidak boleh dipandang mudah apabila hasil 'risikan' terhadap pasukan Laos mendapati mereka bukan lagi pasukan belasahan apabila tampil lebih meyakinkan sekali gus mahu mencipta kejutan pada pertemuan bertemu Malaysia.

Mengesahkan perkara itu, Pengendali skuad B-23 negara Brad Maloney berkata, pasukan Laos kemungkinan tampil berbeza berbanding beberapa tahun lalu sekali gus menuntut anak buahnya lebih berhati-hati pada perlawanan pertama itu.

Beliau berkata, walaupun beraksi di padang tiruan perkara terbabit bukanlah masalah buat barisan pemain dengan masing-masing mahu turun dengan impian mencipta kemenangan menentang Laos.

"Semua pasukan ada kualiti dan sangat kompetitif. Hal ini kerana pasukan Laos sudah tentu tampil berbeza berbanding pada pertemuan beberapa tahun lalu.

"Pasukan terbabit lebih tersusun dan boleh dikatakan agak sukar untuk bersaing dengan mereka untuk mencipta kemenangan," katanya.

Mengikut rekod, skuad B 23 negara bakal mengharungi perlawanan Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia bermula esok hingga 31 Oktober.

Malaysia yang mempertaruhkan rata-rata pemain skuad Bawah 20 Tahun (B-20) diundi bersama Thailand, Laos dan Mongolia dalam Kumpulan J untuk merebut 15 slot beraksi di pusingan akhir.

Pasukan itu mensasarkan untuk muncul juara kumpulan bagi meraih tiket automatik ke pusingan akhir yang dijadualkan pada tahun depan di Uzbekistan.

Berdasarkan tiga rekod pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan lebih memihak kepada Malaysia apabila mencatatkan memenangi semua perlawanan itu dengan kali terakhir pada pusingan kelayakan AFC B-23 di Stadium Kuala Lumpur Cheras pada Mac 2019.

Sementara itu, Brad berkata, walaupun keadaan cuaca di Ulaanbaatar agak sejuk berbanding Malaysia namun anak buahnya dapat menyesuaikan diri sekali gus tidak berhadapan masalah besar pada perlawanan menentang Laos.

"Cuaca memang agak sejuk berbanding di Malaysia namun selepas beberapa hari menjalani latihan, semua pemain sudah biasa dengan keadaan itu dan mungkin tidak berdepan masalah pada perlawanan nanti.

"Setakat ini, semua pemain menunjukkan peningkatan positif dengan masing-masing sudah bersedia untuk diturunkan pada tiga perlawanan kumpulan J," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 5:47 PM