Brad Maloney memberi arahan kepada pelatih skuad B-23 tahun negara. FOTO Ihsan FAM
Brad Maloney memberi arahan kepada pelatih skuad B-23 tahun negara. FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiada 'anak emas' sebaliknya semua pemain berpeluang rebut tempat dalam skuad terakhir menjelang Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 tahun (B-23) di Ulaanbaatar, Mongolia bermula 27 hingga 31 Oktober ini.

Ia ditegaskan pengendali B-23 negara, Brad Maloney yang mengakui semua pemain memiliki peluang sama rata memikat perhatiannya untuk di bawa ke Mongolia.

"Mesej yang sama saya ulang, di mana ini peluang untuk mereka tunjukkan apa yang mereka boleh lakukan dan memahami apa falsafah yang kita terapkan, dan kalau mereka boleh lakukan peluang mereka lebih cerah.

"Kita letak penanda aras yang tinggi di bahu mereka dan kita hanya tinggal dua minggu lagi untuk ke kelayakan itu.

"Tak ada pemain yang dijamin tempat terus ke dalam pasukan di mana saya akan mencari 23 terbaik," katanya yang diletakkan sasaran untuk layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 di Uzbekistan tahun depan.

Pada kelayakan itu nanti, Malaysia di letakkan dalam Kumpulan J bersama Thailand, Laos dan Mongolia dengan juara kumpulan saja akan layak automatik tahun depan, manakala empat naib juara terbaik dari 11 kumpulan turut berpeluang melangkah ke pusingan berikutnya.

Semalam, seramai 25 pemain melaporkan diri dalam latihan fasa kedua yang berlangsung di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan tiga aksi persahabatan bakal diharungi.

Jelas Maloney, tiga aksi menentang pasukan Liga Malaysia itu adalah medan terbaik buat semua pemain menunjukkan kebolehan masing-masing sebelum beliau mengumumkan senarai akhir.

"Kami merancang melakukan tiga aksi persahabatan sebagai persediaan terakhir dengan menentang Penang FC, Kedah (Kedah Darul Aman FC) dan satu lagi pasukan.

"Pemain memiliki peluang membuktikan kemampuan mereka untuk bersama pasukan ke kejohanan itu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 9:40 PM