LUQMAN perlu bijak mengambil peluang yang ada. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
LUQMAN perlu bijak mengambil peluang yang ada. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penggempur utama skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Luqman Hakim Shamsudin perlu lebih lincah dan berhati-hati apabila dia dianggap sebagai untuk dirantai atau diawasi pada aksi Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia.

Hal ini kerana, pengalamannya beraksi di Eropah menyebabkan pasukan seperti Laos, Thailand dan Mongolia memberi lebih tumpuan kepada Luqman berikutan kemampuannya yang cukup licik merobek kubu lawan.

Menyedari situasi berkenaan, Luqman berkata, perkara itu tidak menjadi masalah buatnya kerana yakin dengan kemampuan rakan lain untuk menjalankan tugas masing-masing mencipta kemenangan buat pasukan.

Katanya, ketika ini dia dan rakan sepasukan sudah melakukan persiapan rapi membabitkan fizikal dan mental untuk mencipta kemenangan dalam tiga perlawanan kelak.

"Selepas empat hari berada di Mongolia setakat ini persediaan cukup baik dan bersedia untuk lawan Laos seterusnya mencipta kemenangan.

"Bagi saya tiada masalah (jadi tumpuan lawan) namun kami tidak akan ambil mudah menentang pasukan Laos dan percaya jurulatih ada perancangan.

"Jadi (sasaran) lawan adalah perkara biasa pada saya cuma kena bijak mengambil peluang yang ada.

"Sudah tentu saya mahukan kemenangan, tak mahu seri atau kalah kerana mahu rakyat Malaysia gembira dengan keputusan kelak," katanya.

Mengikut rekod, skuad B 23 negara bakal mengharungi perlawanan Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia bermula esok hingga 31 Oktober.

Malaysia yang mempertaruhkan rata-rata pemain skuad Bawah 20 Tahun (B-20) diundi bersama Thailand, Laos dan Mongolia dalam Kumpulan J untuk merebut 15 slot beraksi di pusingan akhir.

Pasukan itu menyasarkan untuk muncul juara kumpulan bagi meraih tiket automatik ke pusingan akhir yang dijadualkan pada tahun depan di Uzbekistan.

Skuad kendalian Brad Maloney akan menentang Laos pada esok sebelum bertemu Mongolia pada Khamis ini dan mengakhiri kempen kumpulan J pada 31 Oktober melawan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 6:03 PM