MALONEY akui tiga perlawanan persahabatan sebelum ini banyak mengajar anak buahnya untuk bermain lebih baik. FOTO HAZREEN MOHAMAD
MALONEY akui tiga perlawanan persahabatan sebelum ini banyak mengajar anak buahnya untuk bermain lebih baik. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bukan turun sebagai pasukan uji kaji atau mencuba pemain namun lebih kepada misi mahu memperoleh keputusan positif pada perlawanan Kelayakan Kejuaraan AFC Bawah 23 tahun (B-23) di Ulaanbaatar, Mongolia bermula 27 hingga 31 Oktober ini.

Perkara itu ditekankan Pengendali skuad B-23 negara Brad Maloney yang melihat keupayaan anak buahnya semakin meningkat sekali gus yakin mampu memberi tentangan sengit kepada pihak lawan.

Beliau berkata, berdasarkan tiga perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Kedah Darul Aman FC, barisan anak buahnya sudah menunjukkan peningkatan positif dan mampu mengikut setiap perancangan yang diterapkan kepada mereka.

Katanya, berbaki lima hari saja lagi sebelum sepak mula saingan itu, barisan kejurulatihan akan mengenalpasti kesebelasan utama selain turut memperbaiki kelemahan atau kekurangan yang terdapat dalam pasukan.

"Semua pemain mempamerkan peningkatan corak permainan dan ia adalah satu perkara positif dalam usaha membentuk pasukan mantap.

"Kita akan menggunakan peluang dan masa yang ada untuk membuat persediaan rapi. Sememangnya tiga perlawanan persahabatan sebelum ini banyak mengajar mereka untuk bermain lebih baik," katanya.

Mengikut rekod, skuad B 23 negara bakal mengharungi perlawanan Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia bermula 27 hingga 31 Oktober ini.

Malaysia yang mempertaruhkan rata-rata pemain skuad Bawah 20 Tahun (B-20) diundi bersama Thailand, Laos dan Mongolia dalam Kumpulan J t untuk merebut 15 slot beraksi di pusingan akhir.

Pasukan itu mensasarkan untuk muncul juara kumpulan bagi meraih tiket automatik ke pusingan akhir yang dijadualkan pada tahun depan di Uzbekistan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keadaan cuaca Ulaanbaatar yang agak sejuk sekali gus menjadi antara cabaran utama pemain, Maloney berkata, situasi berkenaan perlu diharungi dan berharap pemain dapat biasakan diri dengan segera.

"Kita akan pastikan semua pemain berada dalam keadaan baik kerana cuaca bukanlah boleh dikawal dan barisan kejurulatihan akan memantau mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 4:39 PM