MALONEY (tengah) akan membimbing pasukan B-23 di Mongolia. FOTO Aswadi Alias
MALONEY (tengah) akan membimbing pasukan B-23 di Mongolia. FOTO Aswadi Alias
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Kalau tak biasa dengan cuaca sejuk, risau juga risiko kesihatan seperti darah boleh keluar dekat hidung".

Itu antara perkongsian pengalaman bekas pemain negara, Bakri Ibni yang mengakui skuad bawah 23 (B-23) tahun negara berisiko berdepan masalah kesihatan setibanya di Ulaanbaatar, Mongolia ekoran tidak biasa dengan cuaca sejuk melampau yang di jangka melanda negara tuan rumah itu.

Skuad muda negara yang akan bersaing dalam Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 itu harus didedahkan dengan lokasi latihan yang lebih sejuk di dalam negara selepas cadangan untuk mengadakan latihan di luar negara tidak berjaya kerana risiko jangkitan Covid-19.

Jelas Bakri, antara lokasi dalam negara yang dilihat sesuai seperti Kundasang di Sabah, Bukit Fraser ataupun Cameron Highlands di Pahang.

"Memang cuaca di Mongolia bila masuk bulan 10 sejuk sangat. Kalau kita berlatih di tempat panas, tetapi nak bermain di tempat sejuk, memang ia akan beri kesan kepada kesihatan dan permainan pasukan.

"Saya masih ingat dulu, ada seorang pemain ketika kami di luar negara, darah keluar dekat hidung sebab tak biasa dengan cuaca sejuk.

"Patutnya pasukan muda negara itu berlatih di tempat yang sejuk macam Fraser Hill tempat di mana kami (skuad Olimpik 1980) berlatih dulu. Mungkin cuaca sejuk di negara kita tak sama dengan Mongolia, tapi sekurang-kurangnya kita bagi pemain biasakan diri dengan suasana itu.

"Tahap oksigen yang rendah di tempat tinggi juga boleh membantu persiapan pasukan sebelum ke Mongolia," katanya kepada Arena Metro.

Menerusi laporan akhbar ini, skuad muda negara bukan sahaja perlu bertarung dengan tiga pasukan dalam Kumpulan J iaitu Laos, Thailand dan Mongolia, malah anak didik Brad Maloney sebenarnya turut 'berperang' dengan cuaca sejuk ekstrem di Ulaanbaatar, Mongolia.

Berdasarkan semakan di laman cuaca antarabangsa, Ulaanbaatar yang juga ibu kota negara Mongolia bakal mencatatkan suhu sejuk antara 5 darjah celcius dan boleh jatuh hingga di bawah takat beku iaitu -5 darjah celcius dari 25-31 Oktober ini.

Senario itu jauh berbeza dengan lokasi latihan pusat skuad negara ketika ini di mana pasukan hanya menjalani latihan di sekitar Lembah Klang yang merekodkan suhu lebih panas sekitar 31-34 darjah celcius.

"Kalau cadangan itu dah terlambat bagi pasukan, mereka kena pergi lebih awal ke Mongolia bagi membolehkan pemain menyesuaikan diri di sana. Seminggu awal lebih baik dan amat mencukupi untuk pemain mendapatkan rentak," kata Bakri.

Pasukan negara dijadual berangkat ke Mongolia beberapa hari sebelum aksi pertama menentang Laos pada 25 Oktober ini, sebelum meneruskan aksi bertemu tuan rumah tiga hari kemudian diikuti Thailand pada aksi terakhir.

Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Uzbekistan, tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 6:57 PM