BRAD Maloney (kiri) akan membimbing pasukan mengharungi Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). FOTO Ihsan FAM
BRAD Maloney (kiri) akan membimbing pasukan mengharungi Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara bukan sahaja perlu bertarung dengan tiga pasukan dalam Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hujung bulan ini, malah pasukan muda negara itu sebenarnya turut 'berperang' dengan cuaca sejuk melampau di Ulaanbaatar, Mongolia nanti.

Berdasarkan semakan di laman cuaca antarabangsa, Ulaanbaatar yang juga ibu kota negara Mongolia bakal mencatatkan suhu sejuk antara 5 darjah celcius dan boleh jatuh hingga di bawah takat beku iaitu -5 darjah celcius dari 25-31 Oktober ini.

Senario itu jauh berbeza dengan lokasi latihan pusat skuad kendalian Brad Maloney ketika ini di mana skuad negara hanya menjalani latihan di dalam negara yang merekodkan suhu lebih panas sekitar 31-34 darjah celcius.

Arena Metro cuba mendapatkan Maloney dan pengendali dari Australia itu mengakui barisan kejurulatihan tiada pilihan lain untuk meneruskan latihan di sekitar Lembah Klang selepas cadangan untuk membawa pasukan ke lokasi lebih sejuk di negara di Asia Timur tidak berjaya, disebabkan oleh pelbagai halangan ekoran masalah pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Maloney tetap optimis bahawa anak buahnya mampu mengatasi masalah cuaca terbabit dan tidak akan mengganggu rentak pasukan sepanjang kelayakan itu.

"Kita akan pergi empat atau lima hari sebelum kelayakan berlangsung, dan saya percaya pemain sempat untuk mengadaptasi suasan dan cuaca di Mongolia nanti.

"Kebanyakan pemain ini ada pengalaman di mana ada antara mereka yang pernah beraksi dalam cuaca sejuk apabila bersama pasukan kebangsaan sebelum ini atau ketika dengan kelab masing-masing.

"Cuaca sejuk yang bakal kita hadapi memang cabaran besar tetapi ia bukan alasan untuk kita tidak menampilkan permainan baik di sana nanti," katanya yang pernah melalui situasi sama ketika menjadi penolong jurulatih skuad B-23 pada 2018 yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee apabila beraksi dalam cuaca sejuk di Changshu, China.

Antara tonggak yang dilihat sudah biasa dengan cuaca sejuk adalah Luqman Hakim Shamsudin yang beraksi di Belgium bersama kelabnya, KV Kortrijk; Nik Akif Syahiran yang perah bermain di kelayakan sama pada 2018 di Korea Selatan dan hampir separuh bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari yang sering di bawa menjelajah sekitar Eropah ketika mereka di bawah kendalian Lim Teong Kim.

Sementara itu, Maloney berharap empat tonggak skuad Harimau Malaya yang sedang menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari Amman, Jordan dapat segera menyertai pasukannya.

Empat pemain itu adalah Luqman, Muhammad Mukhairi Ajmal, Muhammad Hakimi Abdullah dan Quentin Cheng yang baharu selesai mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa bersama skuad senior menentang Jordan dan Uzbekistan minggu lalu.

"Kita masih dalam perbincangan dengan pihak bertanggungjawab di mana mereka sedang dikuarantin. Kalau boleh saya mahu mereka segera sertai pasukan bagi membolehkan kita mempersiapkan pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 4:26 PM