Skuad B-23 kebangsaan menjalani latihan. FOTO Ihsan FAM
Skuad B-23 kebangsaan menjalani latihan. FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) Brad Maloney akan memanggil sekurang-kurangnya enam pemain lagi dalam usaha memantapkan pasukan sebelum mengharungi Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia bermula 27 hingga 31 Oktober ini.

Maloney berkata, perlawanan Piala Malaysia yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan terdapat beberapa pemain muda cukup menyerlah dan berpotensi untuk dipanggil menyertai kem latihan.

Beliau berkata, barisan pemain yang dipanggil menyertai kem latihan ketika ini bukanlah senarai muktamad berikutan ada beberapa individu lain akan dipanggil bagi menguatkan pasukan.

Katanya, tempoh dua minggu sebelum aksi kelayakan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk menilai pemain sebelum membawa 23 terbaik ke Mongolia.

"Senarai pemain yang menyertai kem latihan ketika ini bukanlah muktamad kerana mungkin ada lima atau enam pemain lain akan menyertai pasukan nanti.

"Oleh itu, semua pemain mempunyai peluang untuk berada dalam senarai 23 pemain akhir dengan masing-masing dipilih berdasarkan prestasi dan keupayaan mereka," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Pada kelayakan itu nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama Thailand, Laos dan Mongolia dengan juara kumpulan sahaja akan layak secara automatik tahun depan, manakala empat naib juara terbaik dari 11 kumpulan turut berpeluang melangkah ke pusingan berikutnya.

Sebelum itu, seramai 25 pemain berjaya melaporkan diri dalam latihan fasa kedua yang berlangsung di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan tiga aksi persahabatan bakal diharungi pemain muda negara itu.

Antara pemain yang kemungkinan dipanggil dalam waktu terdekat ini adalah penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, pemain sayap skuad Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi dan Hakimi Abdullah (Terengganu).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 6:08 PM