HTET Aung (kanan) anggap Selangor pasukan yang besar dalam bola sepak Malaysia. FOTO Ihsan Liga Bolasepak Malaysia
HTET Aung (kanan) anggap Selangor pasukan yang besar dalam bola sepak Malaysia. FOTO Ihsan Liga Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelibat pemain import muda dari Myanmar, Hein Htet Aung di Selangor semakin menarik perhatian peminat Liga Malaysia musim ini selepas berjaya memperaga prestasi cemerlang menerusi dua jaringan serta enam bantuan jaringan sepanjang saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Walaupun berusia 20 tahun, kelincahan serta tahap keyakinan Htet Aung cukup tinggi malah ramai peminat Selangor melihat pemain ini antara import terbaik dimiliki pasukan pada musim ini selain penyerang, Ifedayo Omosuyi.

Menurut Htet Aung, dia begitu gembira dengan keputusannya menyertai skuad Red Giants yang dianggap sebagai batu loncatan terbesar dalam kariernya selepas menyerlah bersama Hanthawaddy United FC pada musim lalu.

Selain itu, dia berasakan mutu saingan Liga Malaysia juga tinggi dan situasi itu adalah positif dalam meningkatkan lagi tahap permainannya serta pengalaman sebagai pemain bola sepak profesional.

"Saya ada sasaran tersendiri dalam kehidupan ini selaku pemain bola sepak profesional dan bersama Selangor, adalah salah satu pencapaian terbaik buat saya untuk setakat ini.

"Keputusan untuk bersama Selangor pada musim ini adalah tepat dan sejak dari awal, saya amat gembira berada di sini kerana segala-galanya berjalan dengan sempurna.

"Selangor salah sebuah pasukan yang besar dalam bola sepak Malaysia dan saya punyai pengalaman cukup menarik setakat ini dengan pasukan.

"Saya sentiasa mahu membantu rakan sepasukan mendapatkan kemenangan dalam apa jua perlawanan kerana Selangor saya sudah anggap menjadi sebahagian daripada diri ini," katanya.

Htet Aung dilabel sebagai antara pemain muda berpotensi di Myanmar apabila berjaya memenangi kategori Pemain Muda Terbaik di Liga Nasional Myanmar pada musim 2020 apabila menjaringkan enam gol dan sembilan bantuan jaringan.

Dibawa untuk bermain dengan Selangor II di awal musim ini, kecederaan pemain import seperti Manuel Konrad dan Tim Heubach, membuka ruang buat diri Htet Aung untuk disenaraikan bersama Selangor.

Bermain di bahagian tengah, Htet Aung berjaya membentuk keserasian yang cukup sempurna dengan Oliver Buff untuk memberikan hantaran-hantaran menarik kepada barisan penyerang yang diketuai Ifedayo.

"Intensiti di Liga Malaysia sentiasa tinggi dalam apa jua perlawanan dan sukar buat mana-mana pemain yang baharu sahaja bermain di sini.

"Sekiranya anda mahu bermain di Liga Malaysia, fizikal dan mental kita sentiasa kena kuat serta bersedia kerana semua pasukan yang bersaing adalah yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 2:28 PM