Pemain Kelantan United, Alfusainey Gassama (kanan) dihalang pemain Negeri Sembilan, Nasrullah Hanif Johan pada aksi Piala Malaysia di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Pemain Kelantan United, Alfusainey Gassama (kanan) dihalang pemain Negeri Sembilan, Nasrullah Hanif Johan pada aksi Piala Malaysia di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Nasib ternyata tidak menyebelahi Kelantan United FC (KUFC) dalam perlawanan Kumpulan C saingan Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila tewas 0-1.

Berlangsung dalam keadaan padang yang basah di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini, babak pertama menyaksikan persembahan yang agak sengit apabila kedua pasukan dilihat saling melakukan serangan.

Pada minit ke-17, jaringan pertama cuba dicipta oleh pasukan pelawat menerusi rembatan pemain import dari Cameroon, Alain Thierry Akono namun berjaya ditangkap penjaga gol Kelantan United FC, Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Cubaan mencipta jaringan dibalas Skuad The Red Warrior menerusi dua kali tendangan tepat di hadapan gawang pasukan lawan oleh kapten pasukan, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi pada minit ke-24 dan 37 namun kedua peluang keemasan itu digagalkan.

Bagaimanapun separuh masa pertama perlawanan berlalu tanpa sebarang jaringan dibuat walaupun banyak peluang dihasilkan kedua-dua pasukan dan keputusan kekal dengan 0-0.

Memasuki separuh masa kedua, permainan diteruskan dengan serangan cantik yang cuba dihasilkan Alfusainey Gassama pada minit ke-62 namun gagal menerobos kawalan penjaga gol NSFC, Damien Chien Khaim Lim.

Kejutan akhirnya dibuat dengan gol pertama menerusi hasil tolakan mudah oleh Muhammad Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-80 yang memperoleh bola melalui sepakan Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir sekaligus mengutip tiga mata untuk juara Liga Perdana itu.

Berbaki 10 minit sebelum berakhir perlawanan, pemain KUFC dilihat cuba membuat serangan demi serangan namun ternyata nasib tetap tidak berpihak kepada tuan rumah dan keputusan kekal 0-1 sehingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 11:40 PM