Patrick Ronaldinho Wleh (kiri) disekat pertahanan KUFC, Faizol Nazli Sayuti pada aksi Liga Perdana di Stadium Negeri. FOTO Bernama
Patrick Ronaldinho Wleh (kiri) disekat pertahanan KUFC, Faizol Nazli Sayuti pada aksi Liga Perdana di Stadium Negeri. FOTO Bernama
BERNAMA

SARAWAK United kembali menemui rentak kemenangan apabila menewaskan Kelantan United FC (KUFC), 2-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, sebentar tadi.

Skuad kendalian E Elavarasan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ketujuh, menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh bekas penyerang kebangsaan, Mohd Amri Yahyah, yang gagal diselamatkan penjaga gol KUFC, Muhamad Syazwan Yusoff.

Selang 11 minit kemudian, penyerang import dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh menggandakan jaringan buat skuad Ngap Sayot, apabila bijak menanduk masuk bola tepat ke penjuru sebelah kanan gawang untuk meletakkan Sarawak United, mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Pada minit ke-78, pengadil Ahmad Zuhaidi Dzulkifli menghadiahkan sepakan penalti kepada KUFC, selepas penyerang dari Gambia, Alfusainey Gassama dijatuhkan pemain tengah Sarawak United, S Chanturu di dalam kotak penalti dalam satu serangan balas.

Gassama tenang menyempurnakan sepakan penalti itu dan menewaskan penjaga gol Sarawak United, Shaiful Wazizi Mohammad, untuk merapatkan kedudukan 2-1.

Permainan semakin sengit di hujung perlawanan, dengan skuad Sang Kijang Hijau cuba untuk menyamakan kedudukan namun tiada tambahan jaringan dihasilkan, untuk kedudukan akhir memihak pasukan tuan rumah.

Kemenangan Sarawak United malam ini berjaya melonjakkan mereka ke tempat sembilan liga dari tempat ke 11, dengan mengumpul lapan mata dari lapan perlawanan manakala Kelantan United kekal di tangga keenam dengan sembilan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 11:18 PM