SOLSKJAER berdepan tekanan untuk memenangi trofi. FOTO EPA
SOLSKJAER berdepan tekanan untuk memenangi trofi. FOTO EPA
AFP

London: Ole Gunnar Solskjaer mengakui pembelian baharu Manchester United meningkatkan impian bagi memenangi trofi selepas Gary Neville menyatakan pengendali dari Norway itu sudah kesuntukan masa untuk menghadiahkan piala.

United masih mencari trofi pertama mereka sejak Solskjaer membimbing kelab itu pada 2018.

Mereka menamatkan saingan di kedudukan kedua Liga Perdana musim lalu dan tewas pada final Liga Europa kepada Villarreal yang akan berkunjung ke Old Trafford awal pagi esok.

Neville menambah tekanan ke atas bekas rakan sepasukannya di United itu apabila menyatakan Solskjaer perlu memenangi trofi antara 12 hingga 18 bulan lagi kerana beliau mendapat sokongan padu pada jendela perpindahan pemain.

Pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan pertahanan Perancis, Raphael Varane menyertai United pada jendela perpindahan pemain dengan Bruno Fernandes dan Edinson Cavani menyertai pasukan pada tahun lalu.

Bagaimanapun United sudah tersingkir di Piala Liga awal bulan ini dan menduduki tempat tercorot peringkat kumpulan Liga Juara-Juara selepas dibolosi saat akhir ketika tewas kepada Young Boys pada aksi pembukaan.

"Tekanan itu adalah satu keistimewaan. Untuk bekerja di persekitaran ini, anda harus menerima tekanan itu," kata Solskjaer kepada wartawan.

"Ya, saya mendapat sokongan. Segala kemajuan dan proses berjalan dengan baik.

"Saya berada di sini untuk menang dan Gary mengetahuinya. Dia selalu banyak cakap. Saya sudah biasa dengannya."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 10:54 AM