RONALDO (kiri) dikatakan tidak serasi dengan beberapa rakan sepasukan. FOTO EPA
RONALDO (kiri) dikatakan tidak serasi dengan beberapa rakan sepasukan. FOTO EPA
Agensi

London: Ralf Rangnick berdepan cabaran besar buat kali pertama selaku pengurus sementara Manchester United ketika dia cuba menyelesaikan pergolakan di bilik persalinan yang ditinggalkan oleh Ole Gunnar Solskjaer.

Bekas pemain pertahanan United, Gary Neville atas peranannya selaku pengkritik di Sky Sports, menekankan perpecahan dalam skuad bimbingan Rangnick selepas seri 1-1 dengan Newcastle.

Menerusi aksi itu, jelas sekali Rangnick memerlukan masa untuk menyelesaikan masalah di United dan lebih banyak kebimbangan terhadap sikap setiap pemain.

Cristiano Ronaldo sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai gandingannya bersama beberapa rakan sepasukan terutamanya Mason Greenwood.

Neville turut memberi bayangan pergelutan kepimpinan antara Ronaldo dan Harry Maguire dan difahamkan kapten United itu lebih 'senyap' sejak Ronaldo kembali ke kelab itu.

Bruno Fernandes pula bergelut untuk menyesuaikan diri dengan formasi 4-2-2-2 diterapkan Rangnick dan Neville berang dengan layanan kedua-dua bintang Portugal itu terhadap barisan pemain muda.

"Ada sesuatu yang tak kena dan ia masih berterusan. Semangat di bilik persalinan amat penting dan saya tidak rasa mereka bersatu pada ketika ini," kata Neville.

Barisan pemain juga dikatakan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan sesi latihan Rangnick yang menyaksikan mereka terpaksa pulang lewat.

Beberapa pemain pula termasuk Anthony Martial sudah memberitahu Rangnick yang dia mahu meninggalkan kelab itu beberapa minggu selepas pengurus itu dilantik menggantikan Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 9:46 AM