Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. FOTO EPA
Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. FOTO EPA
Agensi

London: Legenda Manchester United, Gary Neville mengakui prestasi bekas pasukannya itu sejak beberapa minggu ini 'sukar diterima', tetapi menegaskan Ole Gunnar Solskjaer tidak mungkin dipecat.

The Red Devils tewas enam daripada 12 perlawanan dalam semua pertandingan termasuk dua kekalahan di laman sendiri pada saingan Liga Perdana Inggeris baru-baru ini dengan jumlah jaringan 7-0 kepada dua musuh utama mereka, Liverpool dan Manchester City.

Ia seterusnya memberi tekanan yang kuat buat Solskjaer, tetapi Neville yakin bekas rakan sepasukannya tidak akan dipecat.

"Saya fikir pemain mengambil berat. Suatu ketika dulu apabila saya meninggalkan Old Trafford dengan memikirkan: 'Adakah pemain benar-benar bersama kami?' Tetapi dengan pemain ini, saya tidak fikir mereka kurang kesungguhan atau kemahuan," kata Neville menerusi The Gary Neville Podcast.

"Saya fikir pemain mahu melakukan yang terbaik dan setiap mereka mahu berada di Manchester United. Namun mereka kelihatan seperti bergelut dengan prestasi ketika ini. Saya percaya perkara ini akan berlaku kepada mana-mana pasukan setiap musim.

"Musim lalu, orang bercakap mengenai kedudukan kedua dalam liga sebagai satu kemajuan, ketika ini pula tidak ada kemajuan. Ia perlu diubah dengan cepat. Berdepan kelab besar, mereka dilihat agak terdesak.

"Sememangnya tugas sebagai pengendali adalah harus bersedia dari segi emosi, tekanan dari dalam dan luar padang."

Man United ketika ini berada di tangga ke enam dalam carta Liga Perdana Inggeris, lima mata ketinggalan dari kelompok empat teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 9:29 AM