Pemain TFC II meraikan jaringan pada aksi Liga Perdana menentang JDT II. FOTO Ghazali Kori
Pemain TFC II meraikan jaringan pada aksi Liga Perdana menentang JDT II. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) terus kebal mempertahankan rekod tanpa kalah selepas menumpaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 4-3 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Kemenangan ini menamatkan badi seri dalam enam perlawanan berturut-turut sebelum ini sekali gus meletakkan pasukan The Turtles itu di tangga kelima liga.

Pujian harus diberikan kepada pemain TFC II yang memperagakan aksi cemerlang selepas berjaya bangkit daripada tiga kali ketinggalan.

Bagaimanapun sepanjang dua puluh minit pertama tiada percubaan tepat diperoleh kedua-kedua pasukan dengan bola lebih banyak berlegar di bahagian tengah.

Memasuki minit ke-21 pelawat mendapat peluang terbaik untuk memimpin perlawanan menerusi sepakan deras Nicolas Fernandez yang berjaya ditepis keluar penjaga gol Mohamad Shafawi Mohamad.

Seminit kemudian Fernandez berjaya menebus kehampaan itu apabila menyumbat gol sulung perlawanan hasil rembatan dari luar kotak penalti untuk pasukannya mendahului 1-0.

Sedar kerap ditekan, skuad The Turtles yang mendapat suntikan semangat penyokong buat kali pertama memperkemaskan asakan dan hasilnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-40 menerusi sepakan leret Jordan Mintah hasil kesilapan pertahanan pelawat, Syazwan Andik Mohd Ishak yang menolak bola ke belakang.

Skuad bimbingan Rafael Sanchez yang lebih banyak mendominasi permainan berjaya menambah jaringan kedua apabila Fernando Rodriguez mudah menolak masuk bola muntah tampanan penjaga gol untuk mendahului 2-1 pada minit ke-45.

Memasuki babak kedua, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 2-2 menerusi tandukan mengelirukan kapten, Argzim Redzovic pada minit ke-51 berpunca sepakan percuma Muhammad Hairiey Hakim Mamat.

JDT II tidak mengalah apabila sekali lagi di depan menerusi tandukan Rodriguez pada minit ke-68 hasil hantaran lintang Syazwan Andik yang gagal ditepis keluar penjaga gol.

Semangat melawan kental yang diperagakan pemain tuan rumah sekali lagi membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan 3-3 menerusi pemain import kelahiran Jepun, Masaki Watanabe yang mudah menolak masuk gol hasil sepakan sudut Muslihuddin Atiq Mat Zaid pada minit ke-82.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Mintah sekali lagi mencuri tumpuan apabila mudah menolak masuk gol kemenangan pada minit ke-90 hasil kesilapan penjaga gol yang gagal menangkap kemas bola asakan Isa Raman untuk menjadi kedudukan 4-3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 12:32 AM