PEMAIN JDT II, Fadhli Shas mengasak import Sarawak United FC, Uche Agba pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT II, Fadhli Shas mengasak import Sarawak United FC, Uche Agba pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Sarawak United FC hanya mampu menamatkan saingan liga selaku naib juara selepas sekadar seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 1-0 pada aksi terakhir Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Ia susulan kemenangan Negeri Sembilan FC yang menewaskan PDRM FC 4-2 pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sekali gus menyaksikan skuad kendalian K Devan dinobatkan selaku juara Liga Perdana.

Skuad Enggang Emas yang muncul naib juara liga selepas mengumpul 38 mata akan beraksi di Kumpulan A dalam saingan Piala Malaysia bersama Penang FC, KL City FC dan Sri Pahang FC.

Pada pertembungan itu, anak didik Elavarasan yang mendambakan kemenangan menguasai perlawanan sebaik dimulakan menerusi gerakan menarik untuk mencipta jaringan seawal minit keempat selepas Uche Agba bijak memperdaya benteng pasukan tuan rumah dan merembat bola leret menewaskan penjaga gol, T Shaheeswaran.

Pasukan tuan rumah hampir menyamakan jaringan pada minit keenam selepas bola sepakan Muhamad Alif Abdu Mutalib terbias kaki Taylor Regan mujur penjaga gol, Shaiful Wazizi Mohamad sempat menampan bola bagi mengelak bola menerjah gawang.

Asakan bertali arus anak didik Rafael Sanchez masih belum mampu diterjemah dengan jaringan selepas bola rembatan deras Chia Ruo Han pada minit ke-32 di luar kotak penalti memaksa Shaiful Wazizi melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Bersambung babak kedua, skuad Enggang Emas hampir menambah jaringan pada minit ke-55 apabila Nor Shamie Iszuan Amin yang berjaya menggelecek benteng pasukan tuan rumah namun merembat bola melepasi palang gol.

Walaupun pasukan tuan rumah mengasak bertubi-tubi untuk mencari gol penyamaan namun corak permainan 'berkampung' pasukan pelawat menyukarkan barisan serangan skuad Merah Biru yang diterajui Fernando Rodriguez untuk melakukan percubaan berbahaya.

Akhirnya pasukan tuan rumah bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-84 selepas Stuart Wilkin menyudahkan bola hantaran Firdaus Ramil untuk menewaskan Shaiful Wazizi dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Kuching City FC mencipta kemenangan selepas menewaskan Perak FC II 2-0 hasil jaringan Irwan Syazmin Wahab pada minit ke-64 dan Aylton Ananias pada minit ke-81 membolehkan skuad The Cats menempah slot ke saingan Piala Malaysia.

Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim akan beraksi di Kumpulan B dalam saingan piala berprestij bersama Terengganu FC (TFC), Selangor FC dan Perak FC yang dianggap kumpulan maut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 11:08 PM