FERNANDO Rodriguez gembira selepas menjaringkan ketika menentang Projek FAM-MSN pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Lartkin, sebentar tadi.  FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
FERNANDO Rodriguez gembira selepas menjaringkan ketika menentang Projek FAM-MSN pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Lartkin, sebentar tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) melakar kemenangan hatrik selepas menbenam skuad Projek FAM-MSN 5-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Dua kemenangan yang diraih sebelum ini membolehkan skuad kendalian Rafael Gil Sanchez kekal di tangga keempat selepas menghimpun 25 mata manakala skuad Projek FAM-MSN masih kekal di tangga bawah liga tanpa sebarang kemenangan.

Seawal minit ke-6 tuan rumah mengundang cemas buat skuad kendalian Yusri Che Lah selepas bola sepakan sudut Stuart Wilkin namun bola tandukan kemas Muhamad Hafiy Haikal Ismail hanya sedikit melepasi palang gol.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-13 selepas bola sepakan lintang Muhamad Alif Abdul Mutalib daripada posisi sayap kanan tepat kepada Daryl Sham George yang menanduk bola kemas menewaskan penjaga gol, Aizat Aiman Mazlan.

Muhamad Aliff sekali lagi menjadi pencetus jaringan kedua tuan rumah pada minit ke-19 selepas bola sepakan intang di posisi sama memberi ruang buat Fernando Rodriguez menanduk bola menewaskan Aizat Aiman.

Anak didik Yusri terus dihukum oleh tuan rumah pada minit ke-35 selepas Rodriguez yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti bingkas mengumpan bola kepada Chia Ruo Han yang mudah menolak bola ke penjuru kiri gol untuk meletak JDT II selesa mendahului 3-0.

Bersambung babak kedua, anak didik Sanchez terus memberi tekanan terhadap pasukan pelawat dan pada minit ke-58 berpunca daripada kesilapan benteng pertahanan pelawat memudahkan tugas Kei Hirose merembat bola menewaskan Aizat Aiman.

Ketika aksi memasuki minit ke-79, skuad Projek FAM-MSN berjaya mencipta gol selepas Azhad Harraz Arman merembat bola leret menewaskan penjaga gol, T Shaheeswaran.

Namun tuan rumah terus menambah derita skuad Projek FAM-MSN ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatka apabila Rou Han bijak melambungkan bola membolehkan Rodrigeuz sekadar menolak bola bagi memastikan kemenangan JDT II 5-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 11:01 PM