MORA menegaskan bukan sahaja faktor kecergasan yang dititik berat, malah ia juga membabitkan kekuatan mental dan emosi pemain. FOTO NSTP
MORA menegaskan bukan sahaja faktor kecergasan yang dititik berat, malah ia juga membabitkan kekuatan mental dan emosi pemain. FOTO NSTP
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Juara Liga Super tujuh musim berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan kembali menjalani latihan bagi persiapan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan bermula awal Januari ini.

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, latihan akan bermula sebaik sahaja pemain pulang daripada bercuti dan dijangka pada bulan depan memandangkan anak buahnya perlu menghabiskan cuti mereka selepas membawa kejayaan merangkul kejayaan menjulang liga buat kali ketujuh berturut-turut.

Bagi Mora persiapan untuk musim depan sudah dirangka dengan rapi tatkala pemain harus berada di tahap kecergasan yang memuaskan bagi memastikan setiap perancangan latihan yang disusun berjalan dengan lancar

"Bukan sahaja faktor kecergasan yang dititik berat, malah ia juga membabitkan kekuatan mental dan emosi pemain memainkan peranan kerana semua ini mampu menaikkan semangat setiap pemain meneruskan latihan selepas kita dilanda dengan pandemik Covid-19.

"Situasi yang dialami sekarang dengan pandemik Covid-19 yang melanda bukan sahaja di negara ini malah seluruh dunia menjejaskan perancangan kita pada musim ini dan berharap ia tidak mengganggu latihan yang dirancang untuk liga musim depan," katanya ketika ditemui Sukan NSTP selepas majlis kerjasama antara JDT dan UNICEF di ibu pejabat JDT, semalam.

Pada musim ini, skuad Harimau Selatan merangkul kejuaraan liga untuk musim ketujuh berturut-turut selepas menamatkan saingan selaku pendahulu liga apabila mengumpul 29 mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menangi 9 perlawanan dan dua keputusan tatkala mengharungi 11 perlawanan.

Paling manis, jurulatih kelahiran Mexico itu membuktikan kewibawaan selaku pengendali skuad Harimau Selatan apabila melakar hatrik peribadi membimbing pasukan itu menjuarai liga dan kejayaan itu menyaksikan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyambung kontrak Mora pada musim depan.

Ditanya mengenai pasukan yang bakal memberi cabaran kepada JDT dalam saingan musim depan, Mora menegaskan bukan sahaja saingan pada musim depan pasukan bimbingannya bakal berdepan cabaran sengit namun pada musim ini juga JDT diberi tentangan tatkala saingan liga dipendekkan hanya satu pusingan akibat penularan pandemik Covid-19.

"Setiap musim kami berdepan persaingan yang sukar tatkala semua pasukan mahu kalahkan JDT. Oleh itu kami kena mengekalkan kekuatan yang sedia dan meningkatkan lagi kualiti permainan bagi memberi saingan pada musim depan.

"Tidak dinafikan, kami akan berdepan situasi sukar untuk mengekalkan apa yang kami raih tapi kami akan tetap bersungguh-sungguh untuk kekalkan apa yang kami kecapi iaitu mengulangi kejayaan yang dimenangi."

Apa yang saya harapkan penyokong dapat hadir ke stadium pada musim depan walaupun dalam skala yang kecil kerana sorakan seorang penyokong menjadi nadi kekuatan kami. Kita tunggu sahaja keputusan sama ada penyokong boleh hadir ke stadium," kata Mora

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 1:31 PM