BERGSON sudah meledak 13 gol menjadi sandaran utama pada aksi menentang Perak FC malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
BERGSON sudah meledak 13 gol menjadi sandaran utama pada aksi menentang Perak FC malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my


Johor Bahru : Kemampuan Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar dua kemenangan berturut-turut dan terus kekal di tangga teratas Liga Super pasti memberi lebih keyakinan buat juara liga tujuh musim berturut-turut mengintai kejuaraan kelapan pada musim ini.

Dua kemenangan yang dikecapi skuad bimbingan Benjamin Mora selepas menewaskan UiTM FC 3-1 pada aksi Ahad lalu dan disusuli jaringan yang sama menewaskan Selangor FC ternyata beri kekuatan moral buat setiap pemain JDT untuk meneruskan rentak kemenangan.

Aksi seterusnya JDT akan melayani kunjungan Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim , Iskandar Puteri, malam esok bakal menjanjikan pertembungan menarik tatkala Perak FC yang dibimbing ketua jurulatih, Chong Yee Fatt yang masih bergelut di dasar liga.

Apapun, Mora jelas tidak mahu pemainnya berada dalam keadaan tertekan dan terlalu memikirkan kejuaraan liga kerana ada misi yang perlu dilaksanakan iaitu melayani kunjungan skuad The Bos Gaurus dan berharap barisan pemain JDT terus fokus dan berusaha mengekalkan momentum kemenangan.

Katanya, setiap perlawanan yang JDT harungi tetap sukar kerana pasukan lawan akan beri saingan sengit dan pemain JDT tidak boleh melakukan kesilapan terutama di benteng pertahanan yang tampak mudah dibolosi.

"Tiga mata beri keyakinan kepada pemain. Tapi kami hormati liga dan lawan yang akan datang, kami perlu bersedia untuk berdepan Perak FC apabila mereka turun beraksi di laman kami dan mereka akan tampil dengan kesungguhan melebihi 100 peratus.

"Sejak aksi pertama lagi kami mahu jadi juara, tapi ada baki lagi perlawanan untuk diharungi dan perjalanan masih jauh.

"Kita tidak mahu jadi mangsa dan mereka (Perak FC) akan boleh lakar kejutan walaupun pasukan itu berada di kedudukan bawah kerana mereka akan turun beraksi melebihi 150 peratus.

"Kami sedar kemungkinan akan berlaku, jadi kami perlu berhati-hati dan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan," kata Mora.

JDT akan turun pada aksi ke-16 saingan liga dan kemenangan amat ditagih tatkala hanya berbaki tujuh perlawanan sahaja buat skuad Harimau Selatan menamatkan saingan liga dan kesemua perlawanan itu tampak berliku.

Apapun kelegaan tampak menjelma dikalangan kejurulatihan JDT selepas Bergson Da Silva kembali menemui sentuhan jaringan selepas meledak dua gol pada dua aksi lalu dan menghimpun 13 gol tatkala ketinggalan satu jaringan di belakang Ifedayo Olusegun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 11:51 AM