JORGINHO bantu Itali muncul juara Euro 2020.
JORGINHO bantu Itali muncul juara Euro 2020.
AFP

Istanbul: Pemain tengah Chelsea dan Itali, Jorginho dipilih Pemain Tahunan Uefa selepas mengatasi rakan sepasukan, N'Golo Kante dan bintang Manchester City, Kevin De Bruyne dalam majlis di Istanbul, awal pagi tadi.

Jorginho beraksi bersama Kante dalam pasukan Chelsea yang memenangi Liga Juara-Juara selepas menewaskan kelab De Bruyne, City pada final di Porto dan kemudiannya membantu Itali menjuarai Euro 2020.

Anugerah itu membabitkan juri terdiri daripada jurulatih 24 pasukan kebangsaan yang beraksi di Euro 2020, 80 jurulatih kelab yang bermain di peringkat kumpulan Liga Juara- Juara dan Liga Europa musim lalu selain seorang wartawan daripada setiap 55 ahli gabungan Uefa.

Jorginho yang berusia 29 tahun meraih 175 mata, lapan mata di depan De Bruyne manakala Kante ketiga.

"Anugerah ini sukar dipercayai berdasarkan dari mana saya datang dan latar belakang saya,'' kata pemain kelahiran Brazil itu kepada UEFA.com.

Pemain Barcelona, Alexia Putellas dipilih pemenang kategori wanita selepas mengetuai pasukannya memenangi Liga Juara-Juara dengan menewaskan Chelsea 4-0 di final.

Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel dinobat jurulatih tahunan manakala Lluis Cortes dari Barcelona muncul pemenang kategori wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 8:50 AM