BENZEMA menjulang trofi Piala Super Uefa selepas menewaskan  Eintracht Frankfurt di Helsinki.
BENZEMA menjulang trofi Piala Super Uefa selepas menewaskan Eintracht Frankfurt di Helsinki.
Reuters

London: Pemain Real Madrid, Karim Benzema dan Thibaut Courtois serta pemain Manchester City, Kevin De Bruyne berpeluang memenangi anugerah pemain lelaki terbaik Uefa 2021-22 selepas tersenarai dalam kelompok undian 15 teratas, menurut badan bola sepak Eropah itu hari ini.

Pemenang akan diumumkan bersama jurulatih lelaki terbaik dan pemain wanita serta jurulatih wanita terbaik Uefa ketika majlis undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Istanbul pada 25 Ogos.

Benzema dan Courtois membantu Real mencipta rekod 14 gelaran Eropah musim lalu manakala De Bruyne membantu City menjuarai Liga Perdana Inggeris - gelaran keempatnya dalam tujuh musim di kelab itu.

Antara calon lain untuk anugerah itu ialah pemain baharu Barcelona Robert Lewandowski, pemain Real Luka Modric dan bintang baharu Bayern Munich Sadio Mane.

Sementara itu Carlo Ancelotti (Real), Pep Guardiola (City) dan Juergen Klopp (Liverpool) berpeluang merebut anugerah jurulatih lelaki terbaik tahunan. UEFA akan menyenaraikan senarai calon untuk kategori wanita minggu hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 9:51 PM